Rebut peluang! Diskaun saman trafik 50% sempena Program Setahun Bersama Kerajaan Madani

Polis menawarkan potongan diskaun sehingga 50% bayaran saman trafik terpilih sempena Program Setahun Bersama Kerajaan Madani bermula Jumaat hingga Ahad ini.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Mohd Azman Ahmad Sapri berkata pembayaran hanya boleh dibuat di kaunter di perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil.

Bagaimanapun, Azman berkata diskaun saman itu tidak melibatkan kesalahan lalu lintas pada 2023 yang melibatkan kemalangan, kes mahkamah yang berstatus waran tangkap atau masih dalam perbicaraan dan kesalahan tidak boleh dikompaun.

Azman berkata orang ramai juga untuk membuat semakan awal saman yang dimiliki terlebih dahulu melalui portal dan aplikasi MyBayar polis sebelum ke kaunter pembayaran.

“Langkah itu bagi mengelakkan kesesakan lokasi dan untuk melancarkan proses pembayaran saman,” katanya dalam kenyataan.

Program Setahun Bersama Kerajaan Madani dianjurkan Pejabat Perdana Menteri (PMO) melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

Menurut sekretariat program itu, selain mempromosikan inisiatif baharu, ia juga dianjurkan untuk membina keyakinan antara kerajaan dengan rakyat melalui kaedah pelaporan pencapaian secara berkala.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*