Rafizi : Kerajaan tak akan berhutang untuk jadi ‘popular’

Kerajaan tidak akan berhutang dalam skala tinggi hingga melepasi tahap defisit semata-mata untuk memastikan pentadbiran perdana menteri popular dalam kalangan rakyat, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Rafizi berkata, kerajaan bersedia untuk terus berbelanja besar, namun ia akan dilakukan secara berhemah bagi mendapat nilai terbaik, daripada berhutang secara melulu yang akhirnya meletakkan negara dalam keadaan bahaya.

“Ini berkait dengan hutang akan datang yang kita ambil, kalau kita tersasar sasaran defisit maknanya penarafan hutang kita lebih tinggi.

“Kerajaan akan terus berbelanja besar, tetapi kita tidak akan berbuat demikian semata-mata untuk dapat sokongan rakyat, supaya perdana menteri nampak popular,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat.

Rafizi menjawab soalan Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) sama ada kerajaan mempunyai naratif jangan berhutang sedangkan sepatutnya pentadbiran perlu berbelanja bagi meningkatkan hasil negara melalui kitaran ekonomi.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, kerajaan mempunyai cara tersendiri untuk menjaga kebajikan kumpulan rentan dan memulihkan ekonomi termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tanpa mengambil tindakan berhutang dan menambah beban seperti diamalkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin Yassin.

Katanya, kerajaan tidak boleh mengambil hutang RM200 billion hingga RM300 bilion dalam suasana kadar faedah antarabangsa lebih tinggi, kerana menyebabkan pentadbiran dan generasi akan datang terpaksa mewarisi bayaran tinggi.

Menurutnya, negara tidak seharusnya mewarisi bayaran hutang sehingga RM40 bilion setiap tahun yang sebahagiannya dibuat pentadbiran terdahulu.

Sementara itu, menjawab soalan Muhyiddin sama ada kerajaan akan membuat langkah segera seperti pelancaran pakej rangsangan bersasar yang pernah dilaksanakan pentadbiran PN sebelum ini, Rafizi berkata, data menunjukkan semua sektor sudah pulih kecuali pertanian.

Malah, katanya, berdasarkan unjuran dan prestasi ekonomi sekarang, negara tidak menjadi lebih teruk berbanding ketika Muhyiddin menjadi perdana menteri sebelum ini.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*