Punca Pejuang ditolak sertai PN akhirnya terbongkar

Perikatan Nasional (PN) menolak permohonan Pejuang menyertai gabungan itu kerana tidak mahu pembahagian kerusi antara parti gabungan terganggu menjelang pilihan raya negeri, kata Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata PN khuatir kemasukan parti baharu ketika dekat dengan pilihan raya akan mengganggu perbincangan yang sedang berjalan.

“Masa dia masuk dekat PRN … parti komponen PN sudah bincang bila terima masuk ia mungkin akan mengganggu proses perbincangan yang sedang berjalan,” katanya kepada FMT.

Turut dipertimbangkan status ‘parti picisan’ Pejuang yang diasaskan oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad itu, yang menurut Tuan Ibrahim tidak akan beri impak besar kepada usaha ‘penyatuan ummah’ yang sering dilaungkan PAS.

“Penyatuan ummah tidak akan berlaku sebab mereka bukan parti utama sepertimana Umno atau Bersatu,” katanya. “Walaupun Pejuang masuk pilihan raya, ia kalah hampir semua dan mereka akui hilang deposit.”

Pejuang tewas di semua kerusi yang ditandingi pada PRU15, termasuk Mahathir dan presidennya, Mukhriz.

PN pada Selasa mengumumkan ia menolak permohonan Pejuang untuk menyertai gabungan itu, yang dipimpin oleh Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin.

Pejuang atau nama penuhnya Parti Pejuang Tanah Air ditubuhkan oleh Mahathir pada Ogos 2020 selepas Bersatu menggugurkan keahlian beliau dan beberapa penyokongnya.

Selepas permohonan ditolak, Setiausaha Agung Pejuang, Amiruddin Hamzah berkata partinya kecewa iltizam dan matlamat untuk tidak memecahkan undi orang Melayu tidak disambut pimpinan PN.

Tuan Ibrahim tidak menolak Pejuang memohon untuk menyertai PN demi menyelamatkan beberapa kerusi DUN parti itu.

Empat kerusi DUN diwakili oleh wakil rakyat Pejuang iaitu Jitra dan Anak Bukit di Kedah serta Jeram dan Kuang di Selangor. Mukhriz adalah ADUN Jitra.

“Saya jangka mereka tahu dengan bersendirian dia tak boleh pertahan kerusi itu maka dia cari gabungan lain,” katanya.

Tuan Ibrahim, yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, berpendapat lebih wajar Pejuang dibubarkan dan ahlinya menyertai PAS atau Bersatu jika mahu terus memperjuangkan bangsa dan agama.

“Itu lebih baik berbanding banyakkan parti kecil kerana akhirnya ia akan menimbul masalah,” katanya.

Beliau menepis dakwaan penolakan Pejuang itu bermakna PN menolak agenda penyatuan ummah yang diperjuangkan PAS.

“Kalau betul-betul nak lihat dari segi kebersamaan dalam pasukan pembangkang, lebih baik masuk parti dalam PN sedia ada sebab dia asalnya dari Bersatu dan bentuk parti lain.”

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*