Alunan muzik rancak membuatkan puluhan lelaki warga Nepal yang sedang mabuk, menari tanpa menyedari kehadiran sepasukan pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah yang menyerbu ‘disko rimba’ di Kampung Sungai Durian, Pokok Sena dekat sini malam tadi.
Dalam Op Belanja jam 10 malam diketuai Ketua Unit Aduan, Risikan dan Operasi Imigresen Kedah, Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Kanan Mohamad Rizal Ramli itu seramai 24 pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya ditahan.
Operasi selama tiga jam dengan kekuatan 17 pegawai itu dilakukan susulan daripada maklumat diterima JIM mengatakan terdapat aktiviti tidak bermoral dilakukan pekerja warga asing di kawasan terbabit.
Siasatan mendapati lokasi ‘disko rimba’ yang terletak agak jauh dari jalan besar dengan laluan masuk kawasan terbabit yang tidak berturap itu didirikan berhampiran kawasan hutan.
Malah, ada pengunjung yang langsung tidak menyedari kehadiran pegawai imigresen turut mengajak menari bersama mereka sambil menarik tangan pegawai terbabit.
Namun, mereka dilihat terpinga-pinga apabila pegawai berkenaan mengeluarkan gari sebelum mengarahkan semua pengunjung duduk berkumpul untuk pemeriksaan.
Pengarah Imigresen Kedah Mohd Ridzzuan Mohd Zain berkata seramai 23 lelaki warga Nepal berusia 22 hingga 56 tahun dan seorang wanita warga Indonesia berusia 44 tahun ditahan dalam serbuan itu.
Menurutnya, siasatan lanjut mendapati premis berkenaan diusahakan wanita warga Indonesia terbabit bersama teman lekakinya warga Nepal dan mereka dikatakan mampu mengaut keuntungan puluhan ribu ringgit dengan menjalan urusan perniagaan secara hutang kepada pelanggannya.
“Wanita Indonesia berkenaan mendakwa dia menyewa tanah serta premis terbabit dengan bayaran RM1,000 sebulan untuk membuka kedai runcit.
“Selain itu, wanita terbabit turut mengaku menjual minuman keras secara hutang kepada pelanggannya terdiri daripada warga Nepal yang juga pekerja kilang kawasan berhampiran,” katanya.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut juga mendapati wanita itu mampu mengaut keuntungan mencecah RM10,000 sehari terutama pada hari gaji kerana pelanggannya akan membayar hutang.
“Kita turut merampas wang tunai berjumlah RM26,000 dan peralatan set karaoke milik wanita warga Indonesia berkenaan dan dia kini ditahan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal lebih masa.
“Lelaki warga Nepal pula ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan pas yang sah ketika berada di negara ini,” katanya.
Menurutnya, pemeriksaan turut menemui kad bank dipercayai milik pekerja Nepal yang berhutang dan disimpan wanita warga Indonesia terbabit.
Difahamkan, bekalan minuman keras serta barang runcit dihantar sebulan sekali menggunakan lori sejak premis berkenaan beroperasi hampir dua tahun lalu.
Turut baca :
Leave a Reply