Polis dedah CCTV rakam dalang baling bom petrol di KK Mart

Polis mendedahkan kamera litar tertutup (CCTV) di cawangan KK Mart di Bidor, Perak merakam individu yang dipercayai dalang kejadian membaling bom petrol di kedai serbaneka itu awal pagi semalam.

Ketua Polis Perak, Mohd Yusri Hassan Basri berkata lelaki itu dilihat kira-kira jam 5.35 pagi di kaki lima berhampiran kedai itu dan turun dari kereta berwarna gelap yang mempunyai pelekat syarikat penghantaran.

Dia dilihat membaling botol kaca dipercayai mengandungi minyak tanah dan meninggalkan tempat kejadian sejurus selepas itu.

“Pihak polis sedang giat mengesan suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan hendaklah dihukum dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

“Pihak polis memohon kerjasama orang ramai untuk tampil menyalurkan sebarang maklumat dan boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Norseha Baharudin di talian 05-4011861 / 017 796 3359.

“Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dengan apa-apa kegiatan yang menyalahi undang-undang,” katanya.

Sebelum ini, ahli parlimen DAP Kelvin Yii berkata ahli politik yang menyemarakkan api perpecahan secara tidak langsung bertanggungjawab terhadap cubaan membakar kedai serbaneka itu.

Katanya, perbuatan keji seperti itu tidak sepatutnya berlaku di Malaysia yang mmempunyai pelbagai kaum hidup secara harmoni.

Walaupun Yii tidak memetik nama, Ketua Pemuda Umno Dr Muhammad Akmal Saleh adalah salah seorang ahli politik yang lantang menggesa kempen boikot KK Mart.

Bagaimanapun, Akmal turut mengecam tindakan membaling bom petrol itu dengan melabelkan perbuatan itu sebagai melampau.

KK Mart telah menjadi tumpuan kontroversi selepas stoking yang tertera kalimah ‘Allah’ ditemui di tiga cawangannya.

KK Mart dan bekas pembekalnya telah memohon maaf atas perkara itu dan mendakwa mereka terlepas pandang.

Awal hari ini, KK Mart, bekas pembekalnya Xin Jian Chang Sdn Bhd, dan pengarah bagi kedua-dua syarikat didakwa kerana sengaja melukakan perasaan agama.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*