PM : Malaysia antara terawal diberi kelulusan hantar bantuan ke Gaza

Malaysia adalah di antara negara terawal diberi kelulusan oleh Mesir untuk menghantar bantuan kemanusiaan masuk ke Gaza, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, Malaysia akan terus berperanan memastikan keperluan bantuan kemanusiaan sampai dengan segera, khususnya makanan dan perubatan.

“Saya bercakap dengan Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi (minta) percepatkan (misi bantuan kemanusiaan). Malaysia antara negara paling cepat dapat kelulusan pesawat (mendarat) dan ke sempadan (Rafah-Gaza),” katanya.

Beliau berkata demikian ditemui media selepas melancarkan Malaysia Digital Expo 2023 (MDX 2023) di sini hari ini. Turut sama hadir, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Sabtu lalu, Pesawat 9M-WCA yang membawa kira-kira 20 tan barangan bantuan kemanusiaan dari Malaysia menerusi OPS Ihsan tiba di Lapangan Terbang Al-Trish, Mesir jam 8.25 pagi waktu tempatan.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, dalam kenyataannya berkata, barangan itu sudah dipindahkan ke kontena untuk dibawa terus ke pintu sempadan Rafah-Gaza.

Mengulas lanjut Anwar menjelaskan, dalam pertemuannya dengan rakan sejawatnya dari Jepun, Fumio Kishida dan Belanda,, Mark Rutte, Malaysia turut menzahirkan pendirian tegasnya dalam isu Palestin.

“(Malaysia minta) pertama, cari penyelesaian segera. Hentikan serangan dan pembunuhan anak-anak, wanita dan rakyat. Kedua, bantuan makanan dan perubatan.

“Ketiga, penyelesaian masalah Palestin keseluruhannya dan ini yang kita lakukan dalam setiap pertemuan, tetapi ada pertemuan dengan Perdana Menteri Jepun dan Belanda, bagaimana nak cari penyelesaiam, tak semua saya boleh luahkan kepada awam,” katanya.

Jepun dan Belanda adalah proksi kepada Barat dan Amerika Syarikat (AS).

Dalam pada itu, Anwar turut mengingatkan semua pihak tidak mengambil kesempatan dengan mempolitikkan isu Palestin demi meraih dan memenuhi kepentingan pihak tertentu.

“Ini soal Palestin, negara sudah ambil beberapa tindakan. Saya tidak fikir wajar untuk mempolitikkan, mencerca, maki hamun. Rumah, kawasan mereka sudah hancur. Usahlah kejadian ini jadi isu politik.

“Jangan sesekali membina mahligai atas pusara. Ini ingatan kepada semua, buat kerja, cari derma, cari bantuan. Saya harap perkara ini difahami. Mungkin ada segelintir kecil saja, tapi orang ini kerjanya sangat menyesatkan,” katanya.

PM : Malaysia antara terawal diberi kelulusan hantar bantuan ke Gaza
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*