PM akui wujud komplot untuk jatuhkan kerajaan pimpinannya

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui kewujudan komplot untuk menjatuhkan kerajaan pimpinannya.

Bagaimanapun ujarnya, usaha itu disifatkan tidak mempunyai asas kukuh.

“Komplot itu memang ada, tapi tak ada asas. Kita tumpu pada kerja. Kalau tak ada komplot dia kerja apa?

“Ini dia jalankan tugas dia, setiap bulan dia ada strategi dia. Jadi insya-ALLAH setakat yang kita pantau, keadaan cukup kuat,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Sambutan Hari Pekerja 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini pada Ahad.

Sinar Harian pada Ahad melaporkan wujud dakwaan kononnya 17 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) serta Parti Keadilan Rakyat (PKR) bakal melompat parti menyertai Perikatan Nasional (PN) dalam masa terdekat.

Desas-desus itu muncul di kala semua parti sedang merangka pelbagai strategi bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri yang dijadual pada Julai nanti.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, meskipun pelbagai usaha sedang dirangka pihak lawan, namun usaha itu dilihat sukar berikutan sokongan padu diberikan semua parti dalam kerajaan.

“Yang penting PH, BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) termasuk yang lain seperti Parti Warisan (Warisan), yang empat ini komitmennya cukup jelas (terhadap kerajaan).

“Jadi, (kita) tumpu kerja (kepada rakyat ketika ini),” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*