Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang baru-baru ini dicabar oleh seorang pemimpin PKR agar hadir ke sidang parlimen.
Pengarah Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR, Amidi Abdul Manan berkata ahli parlimen Marang itu perlu hadir bagi menjalankan tugasnya.
Kehadirannya turut membuktikan keikhlasan dan kesungguhan pembangkang yang telah diberi mandat sebagai wakil rakyat.
Hanya berani berpidato tetapi tidak hadir ke sidang parlimen, Amidi turut menyifatkan tindakan Abdul Hadi itu sebenarnya bertentangan dengan agama.
Hal ini kerana, agama Islam sangat menitikberatkan soal kesucian dan keberkatan pendapatan yang diperolehi umatnya.
“Maka apa alasan untuk kita mengambil pendapatan (elaun wakil rakyat) sedangkan kita tidak melaksanakan tugasan yang diwajibkan ke atas kita?.
“Jika kesepaduan antara agama Islam dan politik yang diperjuangkan maka Parlimenlah tempatnya. Dari situlah punca peraturan dan undang-undang digubal,” katanya.
Amidi yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR itu turut berkata kehadiran di Dewan Rakyat itu bukan hanya wajib dari sudut politik tapi juga dari sudut dakwah.
“(Ia) sebagaimana yang dipamerkan oleh generasi para sahabat di Madinah sehingga meraih gelaran khayra ummah (umat terbaik).” Jelasnya.
Leave a Reply