PH janii siasat Muhyiddin belanja RM500 bilion selepas menang PRU15, kata Adly. Bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin, akan disiasat berhubung dakwaan membelanjakan RM500 bilion ketika pandemik Covid-19, dua tahun lalu, sekiranya Pakatan Harapan (PH) menang pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari, berkata: “Kita janji akan menjalankan siasatan terhadap perkara itu kerana walaupun Muhyiddin menyatakan wang berkenaan adalah untuk menghadapi Covid-19, kita akan lihat daripada semua aspek.
“Jika ada penyelewengan, kita akan ambil tindakan pendakwaan kerana ia adalah wang negara,” katanya menurut Berita Harian selepas berceramah di Kampung Ujong Padang, Masjid Tanah, malam tadi.
Terdahulu, Adly dalam ceramahnya, berkata peruntukan terbabit amat besar dan meskipun dikatakan untuk menyelamatkan rakyat dan negara daripada pandemik Covid-19, ia perlu disiasat.
Semalam, Muhyiddin yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN) mencabar Anwar Ibrahim membuktikan dakwaan gabungan pimpinannya paling kaya.
“Apa bukti dia ada?” soalnya ketika berkempen di Johor Bahru.
Muhyiddin berkata, beliau tiada masalah menunjukkan akaun kewangan PN kepada Anwar, tetapi tertanya-tanya jika pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu mampu lakukan perkara sama.
Terdahulu, Anwar mendakwa PN merupakan gabungan politik terkaya ketika ini kerana mendapat projek berbilion ringgit ketika pandemik Covid-19.
Pada PRU14, PH berjanji akan menyiasat skandal 1MDB membabitkan bekas perdana menteri, Najib Razak. Selepas gabungan itu menang pada 2018, Najib dibawa ke mahkamah untuk berdepan pertuduhan berkait dana 1MDB.
Pada 23 Ogos lalu, bekas presiden Umno itu diperintah menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan tujuh pertuduhan membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.
Sebelum itu, Najib pada 28 Jul 2020 didapati bersalah atas tiga tuduhan pecah amanah jenayah, satu tuduhan salah guna kuasa, dan tiga tuduhan pengubahan wang haram, berhubung dana RM42 juta yang dikaitkan dengan SRC, menyusuli perbicaraan di Mahkamah Tinggi.
Beliau dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.
Mahkamah Rayuan pada 8 Dis 2021 mengekalkan hukuman dan sabitan ke atas Najib.
Turut baca :
Leave a Reply