Pengarah APMM Kuala Perlis ‘dedah’ ada anggota terima ‘suapan bulanan’

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kuala Perlis mendedahkan sudah lama mengesan perbuatan menerima “suapan bulanan” melibatkan segelintir anggotanya.

Mohd Hashim Mat Zain berkata demikian susulan penahanan dua penguat kuasa agensi itu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau berkata, anggota berkenaan sudah lama berada dalam pemerhatiannya, namun gagal memperoleh bukti apabila nelayan enggan memberi kerjasama.

Katanya, pihaknya memandang serius perkara itu dan bersama SPRM dalam menghapuskan jenayah tidak bermoral itu.

“Kegiatan ini telah lama saya kesan iaitu sejak mula mengambil alih jawatan sebagai pengarah APMM Zon Maritim Kuala Perlis pada 2022,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan dua penguat kuasa APMM dan seorang orang awam direman selama enam hari hingga 8 Feb ini bagi membantu siasatan berhubung kes itu.

Hashim mengesahkan perkara itu dan berkata seorang daripada anggotanya dibebaskan SPRM Sabtu lalu.

“Saya tidak akan berkompromi dengan pegawai dan anggota APMM Zon Maritim Kuala Perlis yang terlibat dalam aktiviti jenayah seperti ini,” katanya.

Sementara itu, jurucakap SPRM berkata lebih banyak tangkapan akan dilakukan selepas ini melibatkan anggota APMM dan pihak ketiga.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*