Penduduk Taman Sri Muda ‘menggigil’, tak sabar nak buang undi

Penduduk Taman Sri Muda ‘menggigil’, tak sabar nak buang undi . Walaupun hujan lebat dan kebimbangan berlaku banjir kilat, penduduk Taman Sri Muda di Shah Alam menegaskan mereka tetap akan keluar mengundi esok.

Usahawan, Sharmini Sharine, 45, berkata, dia tidak sabar untuk menunaikan tanggungjawabnya sebagai pengundi.

“Kita perlu mengundi kerana menjadi tanggungjawab kita untuk memilih kerajaan yang mengutamakan rakyat. Kami harap cuaca esok baik-baik sahaja,” katanya.

Sharmini berkata, banjir tahun lalu sangat teruk sehingga ibu bapanya terperangkap selama tiga hari.

Katanya, mereka trauma sehingga tidak mahu keluar rumah apabila hujan.

Banjir yang melanda Taman Sri Muda tahun lalu menenggelamkan beberapa bahagian kawasan itu selama berhari-hari, mengakibatkan berbelas orang maut dan mengakibatkan jutaan ringgit kerosakan rumah dan perniagaan.

Seorang lagi penduduk hanya mahu dikenali sebagai Jackie, 49, berkata dia akan keluar mengundi tanpa mengira cuaca kerana mahu menyokong Presiden PKR Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri.

Bagaimanapun, Jackie berharap pihak berkuasa tempatan dapat melaksanakan langkah tebatan banjir bagi menjadikan pengundian lebih selamat esok.

“Banjir pertama berlaku pada 1995. Saya telah tinggal di sini selama 30 tahun dan saya berharap mereka dapat melakukan sesuatu bagi mengatasinya,” katanya.

Lee Chee Keong, 60, berkata orang ramai tidak seharusnya menjadikan kebimbangan terhadap banjir sebagai alasan untuk tidak mengundi.

“Sebagai rakyat Malaysia, mereka mesti keluar dan mengundi,” katanya, sambil menambah beliau akan menyokong Ahli Parlimen yang mempunyai kepentingan dengan penduduk Sri Muda.

Bagaimanapun, ada yang tidak berminat untuk mengundi pada pilihan raya.

Dinosh Kumar, 18, berkata pilihan raya bukan keutamaan sebaliknya dia lebih bimbangkan banjir.

“Saya bimbang banjir berlaku lagi kerana kami baru sahaja selesai membaiki rumah selepas rosak teruk tahun lepas,” katanya sambil menambah dia masih belum memutuskan sama ada akan keluar mengundi atau tidak.

Turut baca :

Penduduk Taman Sri Muda 'menggigil', tak sabar nak buang undi

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*