Pelanggan terkejut ‘teh O’ harga 30 sen

Pelanggan terkejut ‘teh O’ harga 30 sen.  Seorang peniaga warga emas ‘bermurah hati’ menjual minuman pada harga serendah 30 sen segelas walaupun berdepan dengan kenaikan harga bahan mentah di warungnya dekat Losong, di sini.

Sinah Sulaiman, 71, berkata, sejak beroperasi kira-kira 30 tahun lalu, Warung Cik Nah memang sudah terkenal dengan harga minuman yang murah seperti teh O hanya dijual pada harga 30 sen segelas dan teh panas pula 80 sen segelas.

Katanya, harga teh O itu dijual pada harga 20 sen segelas sejak warungnya dibuka sebelum dinaikkan kepada 30 sen pada 2020.

Menurutnya, harga minuman lain iaitu teh tarik dijual 90 sen, kopi O RM1 dan teh ais RM1.20.

“Walaupun ramai pelanggan baharu terkejut kerana tidak pernah berjumpa harga semurah ini, mereka bersyukur kerana masih ada peniaga yang memahami beban kewangan rakyat di peringkat bawah.

“Bagi pelanggan lama, mereka memang tahu harga murah ini adalah identiti di Warung Cik Nah dan saya akan berusaha mengekalkannya kerana ini juga sebahagian daripada sedekah jariah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di warungnya di sini semalam.

Tinjauan mendapati warung itu sentiasa penuh dengan pe­langgan terutama pada musim cuti persekolahan dan perayaan.

Ibu kepada lima anak itu berkata, warungnya turut menjadi tumpuan peniaga-peniaga kecil termasuk suri rumah untuk menghantar pelbagai jenis kuih tradisional dan makanan moden untuk mencari pendapatan tambahan.

“Alhamdulillah setakat ini, ada 80 peniaga kecil-kecilan menghantar makanan jualan mereka di warung ini dan itu juga antara tarikan utama pe­langgan kerana mereka mempunyai banyak pilihan makanan mengikut selera masing-ma­sing.

“Ini juga antara cara saya berkongsi rezeki dengan membuka peluang kepada sesiapa sahaja yang mahu mencari pendapatan tambahan kerana zaman sekarang, semuanya serba mencabar. Golongan isteri turut membantu suami melalui jualan makanan dan kuih-muih yang dihantar ke sini,” katanya.

Menurut Sinah, harga kuih- muih dijual antara 30 sen hingga 60 sen sebiji manakala harga menu lain seperti nasi lemak dan bihun goreng pula ialah RM1 serta RM1.50.

Katanya, walaupun keuntu­ngan yang diperoleh tidak besar kerana dijual pada harga murah, ia masih cukup untuk menampung kos operasi seperti pembelian barang mentah dan pembayaran gaji pekerja.

“Saya ada lapan pekerja untuk hari biasa manakala cuti hujung minggu, cuti persekolahan dan perayaan pula, bilangan pekerja perlu ditambah hingga 12 orang kerana pelanggan terlalu ramai.

“Setakat ini, masih boleh bayar gaji, buat modal beli barang mentah dan kebanyakannya dibeli secara borong dalam jumlah yang banyak agar harganya lebih murah.

“Untung tetap ada cuma tidak terlalu bermewah seperti orang lain. Namun saya tidak kisah kerana niat asal berniaga memang mahu membantu orang ramai yang susah dan jihad ekonomi umat Islam,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*