Akaun Facebook Radzi Jidin dibanjiri komen warganet selepas menteri kanan pendidikan itu menyatakan hasrat berjumpa seorang guru matematik yang berdepan tindakan buang kerja atau diturunkan pangkat, Mohd Fadli Salleh.
Dalam masa sejam hantaran Facebook dibuat Radzi menyaksikan lebih 2,000 komen dan majoritinya mengandungi sindiran dan kecaman.
“Saya tertarik untuk tahu lebih lanjut perkara yang dibangkitkan cikgu Mohd Fadli Salleh. Kalau cikgu ada kelapangan masa, boleh kita berjumpa,” tulisnya.
Fadli sebelum ini lantang menegur silibus mata pelajaran matematik sekolah rendah yang dakwanya “terlalu tinggi” dan menekan murid.
Natijahnya, guru itu diberikan surat tindakan tatatertib dengan tujuan buang kerja atau turun pangkat yang ditandatangani pengerusi Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan Kumpulan Sokongan.
Semakan FMT mendapati Fadli sering membuat “penandaan” kepada Radzi dan KPM dalam banyak hantaran di Facebook miliknya, namun sekali pun tidak bersahut.
Rata-rata warganet berpendapat tindakan Radzi mahu menyantuni Fadli hanya disebabkan pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Ibu bapa yang mempunyai anak di sekolah rendah tidak melepaskan peluang meminta Radzi mengkaji semula silibus yang dakwa mereka “terlalu mengarut”.
Ada juga yang mahukan Pensyarah Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia (UPM), Othman Talib, turut dipanggil menyertai perjumpaan itu.
Othman juga antara pendidik yang sering menegur dan kerap kali menawarkan khidmat untuk sama berbincang soal sistem pendidikan dalam setiap hantaran Facebook miliknya.
Pada 28 Feb lalu, FMT pernah melaporkan Othman mempersoalkan kewajaran topik insurans dan takaful dimasukkan ke dalam mata pelajaran matematik Tahun 6.
Ada juga yang berkata, Fadli adalah mewakili guru yang merupakan penjawat awam.
Fadli sebelum ini konsisten mempersoalkan kewajaran silibus matematik, Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) Semakan 2017 yang didakwanya terlalu sukar dan “laju” bagi tahap kefahaman pelajar berumur tujuh hingga 12 tahun.
Katanya, silibus yang “dibanggakan” pihak tertentu tidak disokong dengan fasiliti dan kemudahan secukupnya di sekolah, termasuk capaian internet dan khidmat guru pembantu.
Fadli berkata, semakin ramai guru matematik mengeluh tidak mempunyai masa mencukupi untuk mengajar dan memastikan pelajar memahami apa yang diajar.
Malah, katanya ada guru yang tidak sempat menghabiskan silibus tahunan dan akhirnya ia menjejaskan anak murid.
Fadli berkali-kali cuba membuat aduan menerusi saluran disediakan KPM malah pernah bersoal jawab dengan pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Gombak berhubung isu silibus tinggi itu, namun tidak mendatangkan hasil.
Sehinggalah Fadli memuat naik hantaran demi hantaran mempersoal silibus matematik sekolah rendah terlalu tinggi di Facebook dan akhirnya mendapat surat tindakan tatatertib oleh KPM.
Fadli turut memaklumkan, beliau sudah mendapatkan khidmat peguam untuk membantunya menegakkan keadilan sekiranya khidmatnya sebagai guru ditamatkan atau diturunkan pangkat.
Turut baca :
Leave a Reply