Operasi ‘saman ekor’ bermula di seluruh negara

Bermula semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) melaksanakan operasi saman tembak laju atau saman ekor di seluruh negara.

Timbalan Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Mohd Nasri Omar berkata, pesalah trafik yang dikesan melakukan kesalahan memandu melebihi had laju di jalan Persekutuan dan lebuh raya akan dikenakan saman dan notis saman K170A akan diposkan ke alamat kediaman masing-masing.

Katanya, operasi ‘saman ekor’ bertujuan mengesan pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan memandu melebihi had laju mengikut Seksyen 79 (2) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Anggota JSPT akan menggunakan kamera tembak laju bagi merakam mana-mana pengguna jalan raya yang melanggar had laju ditetapkan.

“Saman kompaun bernilai RM300 akan dikenakan kepada mereka yang dikesan melakukan kesalahan itu,” katanya.

Menurut Mohd Nasri, penguatkuasaan saman bagi kesalahan itu akan dijalankan secara berterusan di semua kontinjen dan daerah.

“Tindakan ini bagi memberi peringatan kepada semua pengguna jalan raya untuk mematuhi peraturan lalu lintas yang ditetapkan dalam negara”, katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Nasri berkata, memandu melebihi kelajuan adalah antara punca utama kemalangan jalan raya di negara ini selepas pemandu gagal mengawal kenderaan sehingga hilang kawalan.

“Semua pengguna jalan raya dinasihatkan sentiasa mengikut peraturan ditetapkan dan memastikan undang-undang jalan raya dipatuhi tanpa kompromi.

“Kerjasama orang ramai diharap dapat meningkatkan lagi kesedaran ke atas kepentingan menjaga keselamatan diri dan orang lain,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*