MPV hangus terbakar, ibu, anak perempuan terselamat

Seorang ibu dan anak perempuannya berdepan detik cemas selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire yang dinaiki mereka terbakar dan hangus hampir sepenuhnya dalam kejadian di Kilometer (KM) 134 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) Permatang Pauh, Perai, di sini petang ini.

Jurucakap Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 2.55 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik sahaja tiba, didapati kebakaran itu melibatkan sebuah kereta Toyota Vellfire dengan peratusan kemusnahan kebakaran dianggarkan 90 peratus.

“Terdapat dua mangsa telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba di lokasi kejadian.

“Si ibu yang berusia 40-an tidak mengalami sebarang kecederaan, namun anaknya cedera ringan melecur di bahagian kaki dan mangsa telah diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas beliau, pihaknya mengambil tindakan melakukan kerja-kerja pengawalan dan pemadaman yang mana kebakaran dapat berjaya dipadamkan sepenuhnya pukul 3.31 petang.

“Kerja-kerja ‘overhaul’ pula telah selesai dijalankan dan operasi tamat sepenuhnya pada pukul 3.39 petang,” katanya.

Jelasnya, operasi menyelamat itu dijalankan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai yang diketuai pegawai operasi Syamsul Razman Abd. Rahman.

Turut baca : Penyokong Muhyiddin mula berkumpul di Ibu Pejabat SPRM

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*