“Mohon maaf mesej bertalu tidak terbalas…” Isteri suspek tembak di KLIA 1 akhirnya ‘bersuara’

Isteri kepada suspek kes tembakan di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA) mengakui masih trauma dengan kejadian dialaminya.

Wanita dikenali sebagai Ustazah Farah Cie itu turut memohon maaf berikutan tidak dapat membalas pesanan ‘bertalu-talu’ yang diterimanya susulan insiden tersebut.

Menerusi hantaran yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya itu, Farah Cie turut berkongsi perkembangan mengenai pengawal peribadinya yang ditembak, semalam.

“Mohon maaf mesej bertalu tidak berbalas. Masih trauma dengan kejadian di depan mata. Sekarang pengawal peribadi Farah masih tidak sedarkan diri.

“Sama-sama kita doakan kesembuhan Along supaya sihat seperti sedia kala. Amin,” tulis Farah menerusi hantaran tular yang dibanjiri dengan ribuan tanda suka dari pengguna Facebook.

Pegawal peribadi, Muhammmad Nur Hadith difahamkan sedang menerima rawatan di Hospital Cyberjaya selepas terkena satu das tembakan di dalam insiden tersebut.

Lelaki yang lebih dikenali sebagai Along itu terpaksa ditidurkan selepas mengalami pendarahan teruk hingga sesak nafas selain perlu menjalani pembedahan di usus kecilnya.

Terdahulu, pengunjung KLIA 1 dikejutkan dengan kehadiran seorang lelaki yang tiba-tiba melepaskan tembakan terhadap isterinya di balai ketibaan lapangan terbang itu.

Dalam insiden yang berlaku sekitar jam 1.15 pagi itu, suspek dikenali sebagai Hafizul Zarawi melepaskan dua das tembakan sebelum satu daripadanya terkena pengawal peribadi.

Suspek berusia 38 tahun yang merupakan suami kepada Farah Cie itu kemudiannya melarikan diri dan pihak polis percaya lelaki berkenaan sedang menuju ke arah utara.

Pihak polis turut menggesa lelaki terbabit untuk menyerah diri secara baik di mana-mana balai selain menasihati orang ramai berkongsi maklumat jika terlihat suspek.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain memaklumkan suspek yang menjadi buruan polis itu memiliki tiga rekod jenayah lampau.

Dua daripadanya berkaitan dengan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah manakala satu lagi kes di bawah Seksyen 380/170 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan menyamar sebagai penjawat awam.

Jelas Mohd Shuhaily, dua laporan di bawah Seksyen 506 itu dibuat oleh isteri suspek sendiri pada 2016 dan Disember tahun lalu sebelum memutuskan untuk menggaji pengawal peribadi.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*