Misteri ketukan pintu hantui penduduk Felda Air Tawar 5

Kejadian ketukan pintu rumah penduduk di Felda Air Tawar 5 di sini kelmarin sehingga menimbulkan pelbagai andaian termasuklah khuatir perbuatan jenayah selain tidak kurang juga menyangka ianya kejadian mistik.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung kejadian itu bagaimanapun telah menghantar anggotanya untuk membuat pemantauan lanjut.

“Kita difahamkan kejadian itu berlaku ke atas seorang warga emas berusia 60-an pada waktu malam apabila pintu dibuka tiada orang kemudian warga emas itu menutup semula pintu dan tiada apa-apa berlaku kepada wanita tersebut.

“Pihak polis juga telah mendapatkan maklumat dari ketua blok dan seterusnya menghantar pasukan untuk membuat rondaan sekiranya perkara yang mencurigakan berlaku.

“Siasatan awal kita mendapati kejadian ketukan pintu rumah itu hanya berlaku di sebuah rumah melibatkan satu malam sahaja dan bukan melibatkan ramai penduduk,” katanya kepada pemberita di sini.

Hussin berkata, setakat ini pihaknya masih belum mempunyai maklumat ketukan pintu itu dilakukan penduduk setempat atau orang luar namun beliau juga bimbang sekiranya ia perbuatan kumpulan ‘orang sakit’.

Katanya, oleh demikian beliau menasihati orang ramai terutama penduduk di kampung berkenaan agar sentiasa menyimpan nombor balai polis berhampiran.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*