Minta suapan RM2 juta, bekas Timbalan Pendaftar Mahkamah ditahan SPRM

Seorang bekas Timbalan Pendaftar Mahkamah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki bersubahat meminta wang suapan berjumlah kira-kira RM2 juta bagi membantu menyelesaikan kes siasatan terhadap seorang ahli perniagaan yang dituduh berkaitan projek Jana Wibawa.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia dalam lingkungan 50-an dipercayai meminta suapan itu sebagai balasan antaranya untuk meminta pihak SPRM menukar keterangan tertuduh kepada saksi dan menukar pertuduhan rasuah kepada pertuduhan alternatif.

Katanya, suspek dipercayai ditahan kira-kira pukul 9.30 malam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kuala Lumpur, semalam.

“Suspek pernah bertugas sebagai Timbalan Pendaftar Mahkamah di Putrajaya sebelum bersara pada Disember 2021,” katanya.

Perintah reman selama tiga hari bermula hari ini hingga 20 Mac dikeluarkan Majistret Puan Irza Zulaikha Rohanuddin di Mahkamah Majistret Putrajaya selepas pihak SPRM membuat permohonan tersebut pagi tadi.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Razaliah Ab. Rahman ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*