Yang Berhormat Datuk Seri Salahuddin Ayub, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah melakukan Jelajah Menu RAHMAH di Negeri Sabah sekaligus melancarkan Inisiatif Menu RAHMAH peringkat Negeri Sabah di Pasar Raya MYDIN, Sandakan, Sabah.
Kerajaan mengucapkan terima kasih kepada MYDIN atas komitmen memperluaskan Inisiatif Menu RAHMAH ke cawangannya di Sandakan, Sabah. Walaupun harga kos bahan mentah di Sandakan Sabah mungkin berbeza berbanding di semenanjung, MYDIN tetap menawarkan Menu RAHMAH di Sandakan pada harga di bawah RM5.00 bagi setiap hidangan.
MYDIN menawarkan set sarapan pagi pada kadar harga yang berpatutan sekitar RM2.50 yang berupa Mi, Mihun dan Kuetiau Goreng, Nasi Lemak Biasa dan Nasi Goreng Biasa. Manakala bagi Menu RAHMAH yang ditawarkan pula terdiri dari kombinasi Nasi, Sayur dan Ikan atau Ayam mengikut hari pada harga RM4.90 per hidang beserta air mineral.
Berdasarkan maklumbalas daripada peniaga yang telah menyertai inisiatif ini, Menu RAHMAH telah dijadikan model perniagaan Daya Penarik Pelanggan (Crowd Puller) untuk menarik pelanggan ke premis mereka. Dengan itu pendapatan mereka dapat ditingkatkan melalui kuantiti jualan yang dapat menampung pengurangan margin dan pada masa yang sama turut bersama-sama dalam usaha kebajikan kepada mereka yang memerlukan.
Kerajaan ingin mengucapkan syabas atas usaha KPDN Negeri Sabah melaksanakan Inisiatif PAYUNG RAHMAH di beberapa bandar di Negeri Sabah. Selain di Pasar Raya MYDIN, Menu RAHMAH turut ditawarkan di Sandakan di restoran-restoran seperti Aroma Bistro Elopura, Restoran Sandokan, Artapila Cafe, Budiman, Cinerama Cafe, Kafe Coop & Katering KWBBS, Koperasi Wanita Berjaya Batu Sapi Sandakan, Menu by Ume dan Plangon Chicken Rice.
Kerajaan sentiasa komited dalam membantu mempromosi premis yang menyediakan Menu RAHMAH. Sehubungan dengan itu, KPDN telah mewujudkan satu portal bagi membolehkan orang ramai mendapatkan maklumat lokasi premis menjual Menu RAHMAH yang berdekatan dan peniaga juga boleh mendaftar penyertaan mereka dengan melayari https://menurahmah.kpdn.gov.my.
Sehingga 11 Mac 2023, lebih dari 1,531 premis perniagaan telah mendaftar dalam melaksanakan Inisiatif Menu RAHMAH dan ini termasuk gerai makan, restoran, kafeteria, food court dan yang terbaru rangkaian restoran seperti OldTown White Coffee dan rangkaian makanan segera seperti Burger King, Marybrown dan juga McDonald’s .
Turut hadir, YB Datuk James Ratib-Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Negeri Sabah, YBhg Datuk Roziah Abudin-Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan Dalam Negeri), YBhg Datuk Dr. Ameer Ali Mydin-Pengarah Urusan MYDIN, YBrs Tuan Elron Edika Datuk M Sator-Ketua Penolong Setiausaha (Pentadbiran) Majlis Perbandaran Sandakan, YBrs Tuan Georgie Abas-Pengarah KPDN Negeri Sabah, Pengarah Kanan, Negeri & Bahagian KPDN serta Pegawai Kanan Kementerian.
Klik untuk layari : KPDN Laman Rasmi
Leave a Reply