Mayat tempatan tangan, kaki diikat ditemui di tepi jalan

Satu mayat lelaki warga tempatan ditemukan dalam keadaan tangan dan kakinya terikat di tepi Jalan Bestari Jaya – Rawang menghala ke Bestari Jaya, dekat sini, hari semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak Zainal Mohamed Mohamed berkata mayat yang identitinya belum dikenal pasti itu ditemukan seorang lelaki tempatan yang kemudian menghubungi Balai Polis Rawang pada 11.40 pagi.

Beliau berkata bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak termasuk pasukan forensik dan Unit Anjing Pengesan telah digerakkan ke lokasi bagi menjalankan siasatan.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa merupakan seorang lelaki tempatan berumur lingkungan 40-an. Bagaimanapun, tiada sebarang dokumen pengenalan diri dijumpai pada mayat berkenaan.

Pemeriksaan pada tubuh si mati yang tangan dan kakinya diikat dengan tali nilon menemukan kesan kecederaan dan luka yang parah di bahagian atas kepala,” katanya.

Zainal Mohamed berkata mayat ditemukan berpakaian lengkap dengan baju-t berwarna “maroon” dan berseluar pendek berwarna hitam jenama H&G.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh dan suspek yang terlibat serta motif kejadian masih dalam siasatan,” katanya sambil menambah mayat dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat.

Beliau berkata orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian terbabit diminta menghubungi pegawai penyiasat R Kolanthaivelu di talian 03-61262222 atau 019-2579232.

Turut baca :

Mayat tempatan tangan, kaki diikat ditemui di tepi jalan

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*