Mangsa pemerdagangan manusia di Kemboja berkongsi episod ‘ngeri’

Mangsa pemerdagangan manusia di Kemboja berkongsi episod ‘ngeri’. Dipukul dan diugut dengan pistol supaya tidak melarikan diri.

Itu episod ngeri yang dihadapi salah seorang mangsa pemerdagangan manusia akibat tertipu dengan tawaran kerja gaji lumayan di Kemboja.

Dia antara sembilan mangsa termasuk seorang perempuan berusia 33 tahun tiba dari negara berkenaan selepas berjaya melarikan diri setelah menghubungi Pertubuhan Kemanusian Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) melalui media sosial untuk memohon bantuan.

Sembilan mangsa itu terdiri daripada tujuh anak kelahiran Johor manakala bakinya, Pulau Pinang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), di sini malam tadi.

Mangsa yang enggan dikenali berkata, dia berada di sana sejak lima bulan lalu dan ada dalam kalangan rakannya lebih lama iaitu sembilan bulan.

Katanya, pasport dirampas oleh sindiket, malah sebelum itu, ada yang dipukul dan diugut menggunakan pistol supaya tidak melarikan diri.

“Kami dijanjikan gaji lumayan sebanyak AS$1,500 tetapi dua bulan pertama, saya hanya menerima AS$500 sebelum dipaksa bekerja tanpa gaji. Tugas kami adalah menjadi scammer yang menjanjikan pelaburan lumayan melibatkan pelaburan kripto kepada rakyat Malaysia,” katanya selepas kepulangan mereka disambut Presiden Pertubuhan Keperihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC), Tan Sri Musa Hassan dan Setiausaha Agong MHO, Datuk Hishamuddin Hashim.

Mangsa itu bagaimanapun rasa tertipu, menyebabkan mereka menghubungi pihak MHO melalui media sosial untuk memohon bantuan.

“Pada saat awalnya, kami takut untuk melarikan diri tetapi selepas pihak MHO dan Kedutaan Malaysia di Kemboja mahu membantu, maka kami nekad melarikan diri sebelum berjaya menjejak kaki pulang ke negara hari ini,” katanya.

Dalam pada itu, Musa yang juga bekas Ketua Polis Negara berkata, rakyat Malaysia terutama golongan muda digesa tidak terpedaya dengan tawaran iklan yang menjanjikan gaji lumayan di negara asing kerana seseorang yang terperangkap akan menjadi mangsa jenayah pemerdagangan manusia.

Beliau berkata, golongan belia terutamanya perlu berhati-hati dengan tawaran sebegini yang menjanjikan gaji lumayan di negara luar.

“Isu melibatkan tawaran iklan gaji lumayan di luar negara sangat serius kerana melibatkan jenayah pemerdagangan manusia maka sudah pasti pasukan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) perlu menyiasat perkara ini supaya ia tidak terus berleluasa. Saya yakin pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pasukan siasatan Atipsom sedang bekerja keras bagi memastikan sindiket jenayah pemerdagangan manusia dapat dilumpuhkan,” katanya.

Turut baca :

Mangsa pemerdagangan manusia di Kemboja berkongsi episod 'ngeri'

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*