Amanah menganggap kenyataan dibuat Abdul Hadi Awang – mengenai kemungkinan kerajaan persekutuan tumbang tidak lama lagi – berbahaya kerana bercangah dengan titah Yang di-Pertuan Agong.
Selain itu kata Naib Presiden Amanah Mahfuz Omar kenyataan presiden PAS berkenaan juga berisiko untuk mengudang suasana politik tidak stabil sekali gus menyukarkan negara.
“Ia sangat bertentangan dengan seruan titah Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja Melayu yang mahu supaya kestabilan politik diwujudkan dalam negara kita.
“Kenyataan Abdul Hadi itu boleh memberikan kesan sangat buruk kepada proses pemulihan ekonomi negara,” katanya ketika ditemui Malaysiakini di Kota Bharu, hari ini.
Bekas anggota parlimen Pokok Sena itu berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Abdul Hadi semalam yang meramalkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan tumbang tidak lama lagi.
Berucap pada sesi Dialog Ulama Negarawan: Mendepani Cabaran Globalisasi Media Masa Kini anjuran Yayasan Permata Ummah di Kuala Lumpur, ahli parlimen Marang itu bagaimanapun tidak menyebut berdasarkan apa jangkaannya itu dibuat.
“Orang tanya bila berlaku ini, ini ramalan. Insya-Allah (akan berlaku) dalam masa terdekat,” katanya.
Mengulas lanjut Mahfuz berkata kenyataan dibuat Abdul Hadi itu hanya mengambil kira soal kuasa politik dengan keinginannya merampas kerajaan, selain faktor pilihan raya di enam negeri tidak lama lagi.
Kerugian pada rakyat
Katanya pembangkang mahu mewujudkan suasana yang menghangatkan suhu politik negara.
“Tetapi kenyataan itu adalah berunsur sabotaj kepada ekonomi negara.
“Kesan daripada kenyataan itu akan mengundang kegusaran dalam kalangan pelabur yang akan takut untuk membawa pelaburan baru ke Malaysia kerana mereka melihat bahawa tidak wujud kestabilan politik negara ini,” katanya.
Mahfuz yang pernah menjadi naib presiden PAS itu menambah, pihak berkuasa perlu mengambil perhatian terhadap kenyataan Abdul Hadi kerana berbahaya.
“Sabotaj politik itu biasa pada saya, tetapi ini ada unsur sabotaj ekonomi dan menyentuh soal keselamatan rakyat, maksudnya apabila ekonomi kita tidak dapat dipacu kerana tiada keyakinan pelabur kepada negara, maka kerugiannya adalah pada rakyat.
“Saya mohon pihak berkuasa harus mengambil tindakan terhadap kenyataan-kenyataan seumpama ini kerana boleh membawa kesan yang tidak baik kepada masa depan ekonomi negara,” kata Mahfuz lagi.
Leave a Reply