Seorang bayi berusia 14 bulan ditemui mati selepas ditinggalkan sendirian oleh bapa kandungnya di dalam kereta dalam cuaca panas di Bordes, barat daya Perancis pada Rabu lalu.
Memetik laporan Daily Mail, mangsa dilaporkan ditinggalkan di dalam kenderaan di tempat letak kereta di tempat kerja bapanya. Menurut sumber, lelaki itu dikatakan terlupa untuk menghantar bayinya itu ke pusat bimbingan kanak-kanak. Hasil siasatan awal mendapati, kanak-kanak malang itu meninggal dunia akibat sesak nafas dan dehidrasi. Ketika kejadian, suhu di kawasan terbabit adalah lebih 22 darjah Celsius.
Difahamkan, kejadian tersebut hanya disedari oleh ibu mangsa selepas dia mendapati bahawa bayinya itu tidak hadir ke pusat bimbingan kanak-kanak. Dia yang mula bimbang kemudian menghubungi panggilan kecemasan. Pasukan paramedik bergegas ke lokasi kejadian dan cuba menyelamatkan kanak-kanak itu sekitar jam 5 petang tetapi sudah terlambat. Mangsa disahkan meninggal dunia.
Ibu bapa mangsa yang masih terkejut dengan insiden itu kemudian dibawa ke hospital untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan. Sementara pusat bimbingan kanak-kanak terbabit ditutup selama dua hari berikutan insiden yang berlaku.
Turut baca
Leave a Reply