Seorang lelaki di negeri Bauchi, Nigeria mati ditembak oleh sorang pawang ketika menguji kekebalan tangkal yang didakwa dapat menjadikan si pemakai kalis peluru, lapor Badan Penyiaran Britain (BBC) semalam.
Pawang tersebut, yang menembak mangsa menggunakan sepucuk pistol buatan tempatan, telah diberkas bersama dua suspek lain. Seorang lagi suspek masih diburu polis.
Menurut Superintendan polis tempatan, Ahmed Wakil, ujian kekebalan objek digelar ‘tangkal pistol’ itu dilakukan ke atas mangsa, Muhammadu Ali, 43.
Sejurus terdengar bunyi tembakan, polis bergegas ke lokasi kejadian sebelum membawa mangsa ke hospital.
“Dia bagaimanapun disahkan meninggal dunia sejurus tiba di hospital,” kata Wakil sambil memberi amaran kepada orang ramai agar tidak menggunakan tangkal seperti itu.
Tangkal sering digunakan oleh penduduk Nigeria di mana orang ramai menggunakan khidmat dukun dan pawang untuk mengatasi pelbagai masalah.
Leave a Reply