Lelaki keluar kata-kata lucah terhadap wanita ditahan polis

Seorang lelaki yang mengeluarkan kata-kata lucah terhadap seorang wanita seperti yang tular dalam media sosial telah ditahan polis hari semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, lelaki berusia 38 tahun itu ditahan berhubung kejadian tersebut selepas pihak polis menerima laporan daripada mangsa iaitu seorang wanita lebih kurang pukul 3.40 petang semalam.

“Hasil saringan awal urin suspek adalah negatif. Suspek tiada rekod kesalahan lampau dan kini ditahan di lokap Balai Polis Port Dickson untuk siasatan lanjut.

“Pihak polis mengesahkan telah menerima satu laporan polis daripada mangsa dan kes disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana mengaibkan kehormatan serta mengeluarkan perkataan tidak sopan di khalayak awam,” katanya.

Menurut Aidi Sham, terdahulu lebih kurang pukul 9.22 pagi telah terkesan sebuah video berdurasi 34 saat yang memaparkan seorang individu menghalang sebuah kereta keluar dari tempat meletak kenderaan sambil mengeluarkan kata-kata lucah terhadap seorang wanita.

Aidi Sham berkata, kejadian tersebut berlaku lebih kurang pukul 6.30 petang di hadapan sebuah bangunan di Bandar Springhill di sini.

Beliau berkata, pihak polis ingin menasihatkan orang awam agar tidak mencetuskan kegusaran awam dengan menularkan video tersebut serta memberikan komen-komen yang boleh menggugat ketenteraman awam.

“Perbuatan penyebaran yang tidak bertanggungjawab sedemikian adalah menjadi satu kesalahan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*