Lelaki, isteri orang dirotan 100 kali kerana berzina

Seorang lelaki berusia 29 tahun dan wanita berumur 29 tahun masing-masing dirotan 100 kali hari ini setelah mereka didapati bersalah melakukan zina oleh Majlis Hakim Syariah Langsa, Aceh, lapor laman berita Serambinews.com.

Majlis tersebut memutuskan pasangan itu bersalah pada 21 Februari lalu dan pelaksanaan hukuman turut disaksikan oleh hakim pengawas dari Mahkamah Syariah Langsa, perwakilan pemerintah Langsa dan Kejaksaan Wilayah Aceh.

Hukuman rotan itu dilakukan di Tribun Lapangan Merdeka Langsa.

Wanita itu merupakan seorang ibu di Kota Langsa dan mengaku melakukan zina dengan lelaki tersebut yang berasal dari Aceh Timur di rumah perempuan tersebut di Gampong Alue Dua, MukimLangsa Baro, Kota Langsa manakala ketika kejadian, suaminya sedang bertugas di luar kota tersebut.

Majlis Hakim yang diketuai Ketuanya, Said Nurul Hadi menyatakan, lelaki dan wanita itu telah terbukti bersalah melakukan zina selepas mereka mengaku melakukan perbuatan tersebut.

Menurut pertuduhan, kejadian itu berlaku pada 11 Januari lalu kira-kira pukul 6 petang (waktu tempatan).

Setelah melakukan perzinaan, lelaki dan wanita berkenaan duduk di ruang tamu untuk bersembang, menyebabkan warga kampung tersebut datang ke rumah itu dan mencurigai perbuatan mereka.

Akhirnya, pasangan tersebut mengaku melakukan perzinaan, menyebabkan mereka diserahkan kepada pihak berwajib oleh penduduk kampung untuk proses jatuh hukum.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*