Lelaki bertindak kejam, ‘tetak’ teman wanita enggan ‘rujuk’

Seorang lelaki di wilayah Trat, timur Thailand didakwa membunuh bekas teman wanitanya dengan menetak badan mangsa secara kejam selepas gagal memenangi hatinya semula, lapor laman berita Thaiger, semalam.

Ketika kejadian, mangsa dilaporkan melompat keluar dari tingkap di aras dua kediamannya dan berlari ke dalam sebuah restoran, lokasi di mana dia bekerja, ketika cuba menyelamatkan diri.

Suspek yang dikenali sebagai James, kemudian mengejar mangsa ke dalam restoran tersebut sebelum mengambil pisau dapur dan menetak wanita tersebut berulang kali sehingga mati.

Balai Polis Mueang Trat dimaklumkan mengenai pembunuhan yang berlaku di mukim Nong Samet pada pukul 6 pagi (waktu tempatan), semalam. Polis menemui mayat Chonthikan, 20, dalam keadaan berlumuran darah di restoran itu.

Selain itu, seorang pelayan restoran, Srisamphan, 26, ditetak di bahagian kepalanya manakala seorang lagi pekerja, Wanthanee, 48, dikelar di leher. Kedua-dua mereka dibawa ke Hospital Trat.

Seorang pekerja, Kanphak berkata, dia bekerja di restoran itu pada pukul 5.45 pagi (waktu tempatan) apabila terdengar bunyi dentuman kuat dan melihat Chantikorn berlari masuk ke dalam premis berkenaan.

“Suspek mengejar mangsa, menarik rambutnya dan memukulnya,” kata Kanphak. Lelaki itu kemudian berlari ke dapur dan mengambil pisau pemotong.

Dia turut mengelar leher Wanthanee kerana cuba menghalangnya dan menetak Srisamphan di kepala sebelum berkali-kali menyerang bekas teman wanitanya lalu melarikan diri.

Selepas pembunuhan itu, sistem televisyen litar tertutup (CCTV) merakam James melarikan diri dengan melompat ke dalam Terusan Bang Phra. Polis kemudian mendapati dia bersembunyi di dalam hutan kira-kira 40 meter dari Jambatan Bang Phra.

Polis menahan James pada pukul 8.15 pagi (waktu tempatan) tetapi dia dibawa untuk menerima rawatan di Hospital Trat kerana mengalami kecederaan sebelum disoal siasat.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*