Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil lebih ramai individu termasuk dari dalam dan luar negara untuk diambil keterangan berhubung siasatan kes pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, beliau turut memberi jaminan bahawa tiada pihak yang akan dilindungi dalam siasatan itu.
“Saya dapat maklumat dari pegawai penyiasat, ramai lagi saksi akan dipanggil untuk diambil keterangan, bukan sahaja di dalam negara tetapi juga melibatkan luar negara.
“Saya tidak menolak sesiapa sahaja (untuk diambil keterangan), baik VIP atau menteri yang terlibat dalam kes ini, semua akan dipanggil bagi memastikan siasatan kes dapat dijalankan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Pegawai SPRM Siri 26 Bil 1/2022 Penolong Penguasa P29, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dua hari lepas yang menegaskan bahawa siasatan berhubung isu pembinaan LCS itu mesti diteruskan.
“Siasatan ke arah membuktikan bagaimana berlaku kehilangan wang begitu besar dalam kes LCS ini, jadi beri masa pada kita untuk menyelesaikan kes ini,” katanya.
Anwar dilaporkan sebagai berkata, pendakwaan berhubung isu pembinaan LCS pada peringkat awal, sebelum ini tidak mencukupi memandangkan ia melibatkan skandal berskala besar dan ketirisan, selain pendakwaan tidak bertindak kepada orang-orang yang lebih utama yang dikatakan terlibat dalam isu perolehan LCS tersebut.
Ketika diminta mengulas mengenai Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mencabar SPRM menyiasat dana politik yang diterima UMNO, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP, Azam berkata, pihaknya bersedia untuk menyiasat mana-mana pemimpin parti politik sekiranya terdapat aduan dan bukti salah saku rasuah.
“Kita memang perlu aduan, tetapi sekiranya apa-apa maklumat diterima, kita juga akan melihat kepada maklumat itu. Sebagai contoh, sesuatu parti mungkin tidak ada apa-apa kepentingan, tidak memerintah dan tidak ada kuasa, kalau dia memberi sumbangan, dia tidak melakukan sesuatu kesalahan pada asasnya.
“Mengikut akta kami, kalau seseorang itu mempunyai satu kuasa, dia datang dari satu parti lain, sekiranya menerima apa-apa sumbangan dari sesuatu pihak, tetapi pihak itu ada kepentingan dengan kerajaan, maka ia diklasifikasikan sebagai kesalahan rasuah yang perlu disiasat SPRM.
“Kalau sekiranya ada bukti kesalahan rasuah, kita siasatlah, tiada masalah,” kata Azam.
Leave a Reply