Lans Koperal dituduh bunuh isteri dihantar ke Hospital Bahagia

Mahkamah Majistret memerintahkan anggota polis berpangkat lans koperal, yang dituduh membunuh isterinya di Kampung Bendang Baru di sini pada 5 Mac lalu dihantar menjalani pemerhatian di hospital mental selama satu bulan.

Majistret Ana Rozana Mohd. Nor mengeluarkan perintah tersebut ke atas Mohammad Nizarman Hassim, 27, selepas mendengar permohonan Pengarah Pendakwa Raya Perlis, Mohd. Nordin Ismail yang meminta agar tertuduh menjalani pemeriksaan mental selama satu bulan.

Terdahulu, tertuduh yang memakai baju berwarna merah mengangguk ketika pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di Mahkamah Majistret 2, Kompleks Mahkamah Kangar.

Mohammad Nizarman dituduh membunuh Safsufarnisya Salleh, 26,pada 5 Mac antara pukul 6.45 pagi hingga 8.50 pagi di alamat 13A, Kampung Bendang Baru, Simpang Empat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Tertuduh juga dilihat beberapa kali mengesat air mata menggunakan kedua belah tangannya ketika berada di dalam kandang tertuduh.

Tertuduh juga didengar meminta kebenaran daripada pengiring untuk melawat pusara isterinya sebelum dibawa keluar dari kandang tertuduh.

“Saya ada permintaan, saya nak melawat kubur bini,” katanya ringkas selepas Majistret memerintahkan dia menjalani pemeriksaan mental di hospital bahagia.

Majistret Ana Rozana juga menetapkan 14 April ini untuk sebutan semula kes.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*