Tujuh lelaki termasuk empat penghantar makanan p-hailing mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan melakukan khianat dengan merosakkan dan menterbalikkan sebuah Perodua Myvi di Taman Kota Masai, Khamis lalu.
Mohamad Hairul Hasraf Seeni Abdul Cader, 22; Morrisson Malvin Mada, 19; Shaikh Al Amin Idrus, 21; Nur Khairul Amal Abdul Harsir, 19; Daniel Haziq Syikhanna, 21; Romie Rahimi, 41 dan Muhammad Adam Abd Rahim, 18 membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin.
Berdasarkan kertas pertuduhan, semua lelaki itu didakwa bersama-sama melakukan khianat dengan merosakkan semua cermin dan pintu kereta serta menterbalikkan sebuah Perodua Myvi berwarna biru milik Tan Jing Hui, 21.
Perbuatan itu dilakukan dengan cara menumbuk, menendang, menghentak menggunakan topi keledar, membaling batu dan menterbalikkan kereta terbabit secara beramai-ramai sehingga menyebabkan kerugian kira-kira RM15,000.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di persimpangan stesen minyak Petronas Kota Masai 2, Jalan Nenas, Taman Kota Masai, kira-kira 9.40 malam, Khamis lalu.
- Berita berkaitan : {VIDEO} Perodua Myvi diterbalikkan di Masai, ini punca sebenar
Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aqiilah Ahmad Rofaie memaklumkan mahkamah bahawa kesalahan di bawah seksyen itu tidak boleh dijamin, namun mencadangkan jumlah jaminan RM10,000 bagi setiap tertuduh, sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara membenarkan jaminan.
Semua tertuduh yang tidak diwakili peguam itu memohon supaya jumlah jaminan dicadangkan pendakwaan itu dikurangkan dengan alasan masing-masing hanya berpendapatan antara RM1,200 hingga RM1,500 sebulan.
Selain empat tertuduh yang bekerja sebagai penghantar makanan p-hailing, dua lagi tertuduh bekerja sebagai pekerja membaiki mesin basuh dan televisyen serta menjual topi, manakala seorang lagi sedang melanjutkan pelajaran.
Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan, tidak boleh mengganggu saksi dan mangsa selain perlu melapor diri sebulan sekali di balai polis berhampiran sehingga kes selesai.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi fakta dan hukuman pada 18 Disember depan.
Leave a Reply