Kerajaan bercadang memperkenalkan kaedah yang membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membuat pinjaman bank menggunakan caruman dana persaraan itu sebagai kolateral atau cagaran kepada bank.
Tetapi, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, kaedah itu hanya untuk mereka yang benar-benar terdesak dan memerlukan wang.
“Pada prinsipnya, saya tidak setuju pengeluaran khas dana simpanan persaraan rakyat.
“Bagaimanapun, saya akan pastikan KWSP memberikan ruang bagi pencarum yang mempunyai wang dan dalam keadaan terdesak untuk pinjam daripada bank dengan kolateral atau jaminan cagaran daripada wang KWSP,” katanya menurut Bernama ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat.
Beliau berkata, ia merupakan langkah terbaik yang boleh dilakukan sekarang, memandangkan banyak negara yang memberikan kelonggaran seperti pengeluaran dana persaraan sudah menghentikan atau membatalkan kemudahan itu.
Dalam perkembangan lain, Anwar memberi jaminan kerajaan mampu mencapai sasaran pengurangan defisit fiskal negara kepada 5% tahun ini dan 3.2% pada 2025.
Katanya, tidak wujud pertikaian terhadap sasaran pengurangan defisit fiskal negara itu berdasarkan perkembangan semasa selepas pembentangan Belanjawan 2023.
“Jika diteliti perkembangan selepas pembentangan belanjawan dengan hasil minyak bertambah, (perolehan) USD1.8 bilion daripada International Petroleum Investment Co (IPIC) serta pelaburan besar, termasuk Amazon Web Services dan Tesla, sudah tidak akan pertikai.
“Saya pernah lalui proses ini selama lapan tahun, pengalaman itu akan mengajar saya mengurangkan defisit dan ini sesuatu yang mampu kita laksanakan.”
Beliau berkata, berdasarkan angka terbaru diperolehinya, defisit fiskal negara sudah mencapai sasaran ditetapkan.
“Bagaimana kita kurangkan? Itu adalah langkah-langkah yang telah kita ambil dan bincangkan. Kalau perlu, saya akan umumkan di Parlimen dari semasa ke semasa.”
Menteri kewangan itu berkata, antara langkah jangka panjang dan sederhana yang akan dilaksanakan bagi memperkukuhkan kedudukan fiskal negara termasuk memperkenalkan Akta Tanggungjawab Fiskal, cukai barang mewah serta cukai keuntungan modal.
Tetapi katanya, mekanisme pelaksanaan cukai baharu itu masih dalam perbincangan dan tidak akan membebankan pengguna sehingga ke tahap tidak kompetitif.
“Kita akan pastikan rundingan (pelaksanaan cukai) itu diteliti dengan semua pihak dan tidak memberikan beban kepada pemodal.”
Leave a Reply