Seorang penjawat awam memberikan alasan penat membaiki pendingin hawa selepas dicekup berkhalwat di rumah janda dua anak oleh pegawai syarak di Tanjung Minyak, kelmarin.
Dalam serbuan Operasi Perahu Darat 2 (Opeda 2) kira-kira pukul 11.45 malam itu, pasangan yang ditahan masing-masing berusia 30-an.
Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Che Sukri Che Mat berkata, hasil maklumat awam, serbuan telah dilakukan pegawai syarak bersama pihak polis dan pemeriksaan lanjut di dalam rumah menemui pasangan tersebut.
Ujarnya, turut bersama adalah seorang kanak-kanak berusia 10 tahun yang merupakan anak wanita terbabit.
“Setibanya di lokasi, didapati pintu rumah bertutup rapat serta berkunci dan telah dibuka oleh seorang lelaki. Pemeriksaan lanjut menemui seorang wanita di dalam bilik bersama seorang kanak-kanak berusia 10 tahun.
“Hasil soal siasat, pasangan itu mengaku bukan suami isteri dan lelaki terbabit datang dari Negeri Sembilan dan memberi alasan bermalam kerana penat setelah membaiki pendingin hawa rumah wanita itu yang rosak,” katanya.
Tambahnya, wanita berkenaan yang juga penjawat awam merupakan janda dua anak, manakala lelaki berasal dari Kedah dan berstatus suami orang dengan lima orang anak.
Mengulas lanjut beliau berkata, pasangan tersebut mendakwa telah berkenalan melalui aplikasi sosial Omi.
“Pasangan itu ditahan dan dibawa ke Balai Polis Tanjung Minyak. Tangkapan dibuat semula oleh JAIM bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekediaman,” katanya.
Ujarnya, turut ditahan dalam operasi itu adalah pasangan kekasih muda berusia 20-an yang dicekup duduk berdua-duaan sambil memeluk bahu di kawasan persisiran jalan di Pantai Marina, Kota Laksamana.
Pasangan itu ditahan mengikut Seksyen 71 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana melakukan perbuatan tidak sopan di tempat awam.
Leave a Reply