NASIB seorang kanak-kanak autistik yang dilaporkan hilang sejak Selasa terjawab apabila dia ditemui maut di sebuah sungai, berhampiran lokasi hilang di Apartment Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya pada Rabu.
Penemuan mayat budak lelaki itu dikesan penduduk sekitar lebih 200 meter (m) daripada lokasi yang dilaporkan hilang pada pukul 10 malam Selasa.
Pemergiannya itu disahkan oleh Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abd Hamid yang berada di lokasi kejadian.
Beliau berkata, Zayn Rayyan kali terakhir dilihat di rumahnya di Blok R, Apartment Idaman, Jalan PJU 10/1 Damansara Damai, Petaling Jaya pada pukul 12 tengah hari Selasa.
“Mayat kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian pada Rabu.
Mengulas sama ada kanak-kanak itu diculik atau sebaliknya, Mohd Fakhrudin berkata, pihaknya setakat ini tidak mendapati sebarang unsur penculikan.
Mohd Fakrudin berkata, mayat kanak-kanak itu dalam keadaan sempurna dan lengkap berpakaian sukan.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak-pihak yang terlibat khususnya masyarakat setempat yang membantu polis dalam operasi mencari dan menyelamat kanak-kanak ini,” katanya.
Sementara itu, seorang saksi, yang juga penduduk setempat yang terlibat mencari kanak-kanak itu, Faizol Najib Abudi Naim, 45, berkata, beliau melakukan solat Isyak dan solat hajat sebelum meneruskan usaha mencari Zayn Rayyan malam Rabu.
“Sebelum ini termasuk siang tadi, saya bersama rakan-rakan lain mencari dia di kawasan berhampiran sungai namun tidak jumpa tetapi hari ini (malam ini) hati saya tergerak untuk mencari di tempat yang sama.
“Saya guna lampu suluh di kawasan anak sungai dan nampak sekujur tubuh lalu terus saya terjun ke dalam anak sungai berkenaan,” katanya.
Faizol berkata, beliau memanggil Zayn Rayyan kerana menyangka kanak-kanak itu keletihan kerana dilihat berada dalam keadaan mengiring.
“Saya panggil nama dia (Zayn) tetapi dia tidak menyahut, terus saya menjerit memanggil ambulans rupanya Zayn Rayyan sudah tidak bernyawa. Saya sedih dan mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham,” katanya.
Leave a Reply