KDN : Kertas siasatan berunsur perkauman Hadi, MP PAS diserah pada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan

Kertas siasatan terhadap Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan Ahli Parlimen Permatang Pauh Muhammad Fawwaz Mohamad Jan berhubung kenyataan berunsur perkauman akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk tindakan selanjutnya.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution berkata demikian ketika diminta mengulas siasatan polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terhadap Hadi dan Fawwaz.

“Saya hanya boleh memastikan terdapat beberapa aduan dibuat. Kertas siasatan telah dibuka.

“Biarlah proses itu berjalan dahulu barulah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi TownHall Rakyat anjuran Sinar Harian.

Sebelum ini, Muhammad Fawwaz memaklumkan dia telah memberi keterangan kepada polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, dekat Bukit Mertajam berbuhung siasatan kes berunsur perkauman membabitkan dirinya.

Muhammad Fawwaz berkata keterangan itu diberikan pada jam 3 petang, Jumaat lepas.

Dilaporkan sebelum ini, Hadi disiasat berhubung hantaran di Facebooknya pada 20 Ogos 2022.

Polis mengesahkan menerima 28 laporan terhadap Hadi.

Laporan itu susulan kenyataan Hadi sebelum ini antara lain dilapor mengatakan golongan bukan Islam dan bukan Bumiputera merupakan golongan yang paling besar merosakkan politik dan ekonomi negara.

Sebelum ini, Saifuddin berkata siasatan ke atas Abdul Hadi dan Muhammad Fawwaz dibuat mengikut Seksyen 505(C) Kanun Keseksaan dengan Muhammad Fawwaz didakwa membuat fitnah ke atas orang bukan Islam.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*