Kasihan lelaki ini, dipenjara 15 tahun atas pembunuhan yang tidak dilakukannya – Siapa pembunuh sebenarnya?

Keratan akhbar yang memaparkan kisah pembunuhan Yasuko.

Pada 19 Mac 1997, mayat seorang wanita ditemui dalam sebuah apartmen kosong di kawasan kejiranan Maruyama di Shibuya, Jepun. Mayat itu dikenal pasti sebagai Yasuko Watanabe, berusia 39 tahun. Beberapa hari sebelum itu, ibunya ada membuat laporan tentang kehilangan Yasuko.

Laporan bedah siasat mendapati mangsa mati akibat dicekik, lebih kurang 11 hari sebelum mayatnya ditemui. Siasatan turut membongkar sisi gelap kehidupan malam Yasako sebagai seorang pelacur.

Siapa Yasuko Watanabe? Wanita ini merupakan graduan jurusan ekonomi dari Universiti Keiko, sebuah universiti berprestij tinggi di Jepun. Tamat belajar pada tahun 1980, Yasuko bekerja di Tokyo Electric Power Company, sebuah firma terkenal di Jepun.

Pendapatan Yasuko sebenarnya mencukupi untuk menampung kehidupannya. Tetapi, entah bagaimana dia boleh terjerumus dalam kegiatan pelacuran.

Yasuko Watanabe.

Dikatakan Yasuko mula terlibat dalam pelacuran pada tahun 1989 ketika berusia 32 tahun. Siasatan mendapati, Yasuko menjadi pelacur kerana rasa kecewa apabila percintaannya dengan seorang lelaki berstatus suami orang berakhir di tengah jalan.

Yasuko juga didapati seorang yang ‘berdisiplin’. Aktiviti pelacurannya hanya bermula selepas dia habis bekerja. Setiap malam, dia hanya menghadkan untuk melayan empat lelaki sahaja. Tidak lebih daripada itu.

Lelaki Nepal Ditahan Sebagai Suspek

KAWASAN apartmen tempat di mana mayat Yasuko ditemui turut dihuni oleh ramai pekerja asing. Salah seorang darinya ialah Govinda Prasad Mainali, lelaki berusia 30 tahun berasal dari Nepal.

Govinda tinggal di bilik bersebelahan dengan bilik Yasuko. Semasa ditanya polis, Govinda mengatakan dia tidak mengenali Yasuko.

Namun, polis menemui diari peribadi Yasuko. Dalam diari itu dicatatkan dengan teliti siapa lelaki yang melanggannya. Setiap pertemuan itu turut dicatatkan tarikh, masa serta bayaran yang diterima.

Dalam diari itu juga tercatat nama Govinda yang direkodkan pernah melanggan Yasuko pada tarikh 28 Februari. Itu sudah cukup untuk polis terus menahan lelaki Nepal itu dan dijadikan suspek utama.

Govinda yang sebelum itu mengaku tidak mengenali wanita itu akhirnya menukar kenyataan dan membuat pengakuan pernah melakukan hubungan intim dengan Yasuko pada tarikh seperti yang dicatat dalam diari wanita itu. Namun, dia membantah sekeras-kerasnya tuduhan bahawa dia membunuh Yasuko.

Polis turut menemui beberapa spesimen air mani di tandas yang merupakan kepunyaan lebih daripada seorang lelaki. Salah satu DNA spesimen itu disahkan kepunyaan Govinda.

Namun, itu belum cukup kuat untuk mengatakan Govinda adalah pembunuhnya. Govinda membuat hubungan dengan Yasuko pada 28 Februari, sedangkan wanita itu didapati mati pada 8 Mac. Malah, ada beberapa DNA lain yang tidak diketahui kepunyaan siapa turut ditemui dalam bilik tersebut.

Pada awal perbicaraan, mahkamah membebaskan Govinda kerana kekurangan bukti. Namun, Govinda ditahan semula apabila pendakwa membawa kes ini ke mahkamah tinggi.

Banyak yang jadi persoalan. Mayat Yasuko hanya ditemui selepas 11 hari dia dibunuh. Jika benar Govinda pembunuhnya, adalah tidak logik untuk dia terus menetap di apartmen itu.

Selain itu, tiga hari selepas Yasuko mati, Govinda didapati pergi ke balai polis untuk bertanyakan tentang visanya yang akan tamat. Keadaan itu menggambarkan Govinda tidak tahu langsung tentang pembunuhan itu.

Namun, Govinda tetap dituduh. Semasa dalam tahanan, dia dibelasah dan dipaksa mengaku membunuh Yasuko. Namun, lelaki Nepal ini tetap bertahan dan mengatakan bukan dia yang membunuh Yasuko. Kes pendakwaan Govinda terus berjalan walaupun banyak bukti menunjukkan bukan dia pembunuhnya.

Menelusuri kehidupan Govinda, lelaki Nepal ini datang ke Jepun pada tahun 1994 dan bekerja sebagai pelayan di sebuah restoran sebelum ditahan polis pada tahun 1997. Setiap bulan, sebahagian gajinya dihantar untuk keluarganya di Nepal.

Apabila ditahan tanpa bukti kukuh, Govinda meratapi hukuman itu kerana berasakan tidak ada keadilan untuk dirinya hanya kerana dia seorang pekerja asing dan datang dari negara miskin.

Selepas 15 tahun jadi tahanan penjara, Govinda akhirnya dibebaskan pada Jun 2012, selepas ujian DNA mengesahkan ada suspek lain bersama-sama dengan Yasuko beberapa jam sebelum dia dibunuh.

Sebaik dibebaskan, Govinda terus dihantar pulang semula ke negara asalnya. Pada November 2012, dia disahkan tidak bersalah oleh mahkamah, selepas 15 tahun dia menghabiskan waktu dalam penjara.

Govinda Prasad Mainali, of Nepal, gestures during a press conference in Kathmandu, Nepal.

Shinichi Sano, seorang penulis turut menghasilkan buku daripada kisah ini berjudul ‘Tokyo Electric Power Co. Office Lady Muder Case’. Untuk menulis buku tersebut, Sano selalu melawat Govinda di penjara untuk mendapatkan bahan penulisannya.

Menurut Sano, dia tidak pernah percaya bahawa Govinda adalah pembunuh Yasuko. Malah, ramai rakyat Jepun juga percaya lelaki Nepal ini tidak bersalah, dan ada pihak yang membantu untuk membebaskannya. Namun, tiada siapa mampu melawan undang-undang yang ditetapkan.

Selama 15 tahun Govinda merengkok dalam penjara atas kesalahan yang tidak dilakukannya. Dan hingga sekarang, pembunuh Yasuko masih tidak diketahui.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*