Kantoi !!! Tekong darat lari ‘lintang pukang’ tinggalkan 16 pendatang selepas kenderaan dihalang. Tiga tekong darat lari meninggalkan 16 pendatang asing tanpa izin (Pati) dalam kenderaan sebaik laluan mereka dihalang pihak berkuasa di jalan Kampung Nibong, Tanah Merah, Kelantan.
Ketua Polis Tanah Merah, Wan Zulfikri Wan Othman berkata, dalam kejadian 10.30 malam itu, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan melihat tiga kenderaan mencurigakan di kampung tersebut.
“Sepasukan anggota dari Balai Polis Nibong segera ke lokasi dan sebaik tiba di simpang tiga Kampung Nibong, kelihatan sebuah Proton Persona dan dua Proton Waja.
“Sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, tiga kenderaan yang dipandu tiga individu cuba berpatah balik namun polis menghalang laluan mereka di hadapan simpang. Tiga pemandu itu kemudian bertindak melarikan diri ke arah semak berhampiran Pangkalan Haram Macang,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Wan Zulfikri berkata, pemeriksaan dalam tiga kenderaan mendapati 16 warga Kemboja termasuk tiga kanak-kanak yang berusia antara 10 hingga 45 tahun.
Menurutnya, hasil siasatan kesemua Pati itu akan dihantar untuk bekerja di Kulai, Johor.
“Tiga kereta dan Pati dibawa ke Balai Polis Nibong untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Kami akan terus mempertingkatkan risikan dan maklumat serta memperketatkan kawalan di kawasan sempadan antarabangsa bagi mengekang kemasukan pendatang asing secara tidak sah,” katanya.
Turut baca
Leave a Reply