Jual sijil cuti sakit RM30, polis tahan empat wanita, dua lelaki

Polis menahan empat wanita dan dua lelaki kerana disyaki terbabit dengan aktiviti menjual sijil cuti sakit palsu di sekitar Kajang.

Ketua Polis Kajang, Mohd Zaid Hassan berkata, semua suspek ditahan di beberapa lokasi sekitar daerah itu pada Jumaat dan Sabtu lalu, lapor Sinar Harian.

“Semua suspek berusia 26 dan 51 tahun itu dipercayai aktif menjual sijil cuti sakit sejak setahun lalu dengan harga RM30 hingga RM50 sekeping,” katanya.

Zaid polis turut merampas sebuah komputer riba, lapan buah telefon bimbit, lima unit pemacu pena, enam buah buku sijil cuti sakit, 171 sijil cuti sakit kerajaan, 70 keping sijil cuti sakit swasta serta 19 resit rasmi klinik.

“Semua suspek telah direman sejak Sabtu hingga Isnin, kemudian disambung reman sehingga hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kegiatan penjualan sijil cuti sakit ini boleh menghubungi talian hotline IPD Kajang di talian 03-89114242 atau menghubungi pegawai penyiasat kes V M Tanaseelan,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*