Penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Jemaah Menteri di enam negeri, seharusnya tidak dipolitikkan.
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, rumah terbuka yang bakal diadakan itu merupakan medium bagi kepimpinan negara beramah mesra dengan rakyat.
“Itu cara atau ‘style’ masing-masing apabila seseorang Perdana Menteri itu diberikan amanah. Terpulang kepada Perdana Menteri untuk mengadakannya dengan apa juga cara.
“Pada tahun ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mengadakan rumah terbuka di kediaman rasminya seperti kebiasaannya yang dilakukan setiap Perdana Menteri buat di pagi hari raya. Sebaliknya, beliau memutuskan untuk diadakan di luar Kuala Lumpur,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berkata demikian pada sidang akhbar majlis rumah terbuka di kampung halamannya di Serkat Pontian, di sini pada Isnin.
Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri bersama Perdana Menteri akan dimulakan di Kedah pada 29 April ini, diikuti Pulau Pinang (6 Mei), Negeri Sembilan (7 Mei), Kelantan (12 Mei), Terengganu (13 Mei) dan kemuncak sambutan rumah terbuka itu berlangsung di Selangor pada 14 Mei.
Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai berkata, pembangkang tidak sewajarnya cemburu terhadap kerajaan Persekutuan yang menganjurkan rumah terbuka di enam negeri tersebut.
“Tidak perlu cemburu hingga dipolitikkan kerana perkara paling penting adalah rakyat disantuni oleh pemimpin ketika rumah terbuka itu diadakan nanti.
“Rakyat datang untuk beramah mesra dengan pemimpin ketika rumah terbuka. Itu tiada masalah, janganlah Hari Raya pun hendak dipolitikkan,” katanya.
Sebelum itu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor terhadap majlis rumah terbuka itu yang dianggap program kempen PRN dan ia tidak wajar diadakan.
Muhammad Sanusi berkata, ini kerana program itu membabitkan kos tinggi sedangkan Kerajaan Persekutuan sebelum ini menguar-uarkan langkah penjimatan.
- Turut baca : PM Anwar terus jadi tokoh pilihan rakyat
Leave a Reply