Isu ‘anak, menantu Pagoh’ disiasat punca Dewan Rakyat kecoh

Isu mengenai ‘Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin, anak dan menantu’ disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menimbulkan pertikaman lidah antara blok pembangkang dan kerajaan di Dewan Rakyat di sini pada Selasa.

Kekecohan tercetus apabila Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mendakwa keluarga bekas Perdana Menteri itu kini disiasat kerana terbabit dalam pemberian kontrak Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) kepada IRIS Corporation Berhad.

“Kita lihat dalam masa tiga bulan yang lepas skandal demi skandal dibongkarkan antaranya NIISe melibatkan RM1 bilion diberikan kepada anak menantu telah dibongkarkan dan kita semua tahu untuk tujuan politik,” katanya.

Tidak berpuas hati dengan dakwaan tersebut, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin kemudiannya bangkit mencelah dengan mencabar Poay Tiong menyebut secara jelas individu yang dimaksudkan itu.

Tanpa mengendahkan desakan itu, Poay Tiong sekali lagi menegaskan bahawa isu berkenaan sememangnya telah diketahui ramai.

“Perkara ini sudah diketahui seluruh Malaysia yang dimaksudkan dengan anak anak menantu. Minggu lepas sebut (dan) Pagoh (Muhyiddin) boleh periksa hansard,” katanya.

Kenyataan yang dikeluarkan Poay Tiong itu turut membangkitkan kemarahan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) yang bangkit membacakan Peraturan 36(6) bahawa seseorang ahli Dewan Rakyat tidak boleh mengeluarkan sangkaan jahat ke atas ahli lain.

“(Kota Melaka) sebut Pagoh secara individu (dan) saya minta tarik balik. Kalau berani sebut di luar dan kita jumpa di mahkamah,” katanya.

Keadaan terus panas apabila beberapa ahli Parlimen pembangkang dan kerajaan saling ‘berbalas’ sehingga memaksa Timbalan speaker, Alice Lau Kiong terpaksa meredakan keadaan.

Tidak berdiam diri, Muhyiddin turut bangkit menyelar dakwaan yang dibuat oleh Poay Tiong bahawa beliau telah menafikan penglibatan keluarganya dengan projek berkenaan.

“Saya sudah jelaskan pada waktu saya berucap sebelum ini bahawa ia tuduhan fitnah yang hendak menjatuhkan maruah saya dan keluarga,” katanya.

Malah, Muhyiddin turut memberi peringatan kepada ahli Parlimen blok kerajaan yang membangkitkan isu berkenaan di luar Dewan dan beliau tidak teragak-agak akan mengambil tindakan undang-undang.

Bagaimanapun, pertikaman lidah berterusan apabila ahli Parlimen pembangkang mendesak supaya Alice segera membuat ruling.

Kekecohan yang berlanjutan lebih 10 minit itu bagaimanapun dapat diredakan apabila Alice meminta Poay Tiong menarik balik kenyataan yang dibuat ketika gilirannya membahaskan Belanjawan 2023.

“Spekaer saya tarik balik (kenyataan) dan sekarang saya ulang bahawa semua (kenyataan) dibaca daripada semua surat khabar, tidak fitnah seperti disebut,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*