Isu 3R: PDRM nafi ‘dicucuk hidung’ – Razarudin

Tidak timbul isu Polis Diraja Malaysia (PDRM) ‘dicucuk hidung’ dan digunakan sebagai alat politik oleh mana-mana pihak dalam mengambil tindakan terhadap isu 3R (agama, kaum, diraja).

Sebaliknya, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap pihak yang didapati memainkan isu itu.

“Kerajaan sebelum ini juga mengucapkan (larangan) menyentuh isu 3R, kita pernah (dengar) dengan Tan Sri Muhyiddin (Presiden Bersatu) dan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (Setiausaha Agung Pas) juga bercakap tentang ini.

“Maknanya, mana-mana kerajaan yang memerintah, kita tidak mahu 3R dimain dan menjadi kacau bilau dalam negara. Bukan kita kena paksa, kena arah.

“Terutamanya saya cakap institusi diraja, jangan diperkecilkan, difitnah, dihina khusus sembilan Raja-Raja Melayu,” katanya ditemui pada Majlis Penutup Simposium Forensik Bagi Penguat kuasa Undang-Undang Kebangsaan ke-4 di Maktab PDRM, Cheras, di sini hari ini.

Menurutnya, PDRM mengambil pendirian untuk melindungi institusi diraja daripada difitnah, dihina atau diperkecilkan oleh mana-mana pihak sekalipun.

“Isu ini kita akan ambil tindakan serius terutama yang membabitkan institusi diraja… kita tidak akan beri peluang langsung. Itu pendekatan kami buat masa ini termasuk mana-mana isu agama dan bangsa yang boleh memecahbelahkan semangat setia kawan Malaysia yang berbilang kaum,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*