Hanya tegur remaja buang air kencing, seorang lelaki ‘ditibai’ sehingga berdarah

Hanya kerana tegur remaja buang air kencing, seorang lelaki ‘ditibai’ sehingga berdarah. Seorang lelaki dipukul selepas menegur seorang remaja yang membuang air kecil di jalan keluar sebuah flat di Bayan Lepas, Pulau Pinang pada Jumaat.

Menurut kenyataan di Facebook Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya, kejadian berlaku di bawah Flat Bayu Nyaman, Bayan Lepas, Pulau Pinang.

“Siasatan awal mendapati, kejadian berlaku selepas mangsa menegur suspek yang berusia 19 tahun kerana membuang air kecil berhampiran kon yang diletakkan di kawasan jalan keluar flat.

“Mangsa yang melihat perkara itu meminta suspek menyiram semula kawasan yang terkena air kencingnya. Suspek kemudiannya beredar dari lokasi tersebut,” kata kenyataan itu pada Jumaat.

Menurut kenyataan itu, beberapa minit selepas itu suspek datang semula dan terus memukul mangsa dengan sebatang kayu.

“Siasatan mendapati, mangsa dipukul dengan menggunakan sebatang kayu sepanjang 45.7 sentimeter (cm). Mangsa mengalami luka dan berdarah di bahagian kepala sebelah kiri.

“Suspek kemudiannya berjaya ditahan untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” kata kenyataan itu.

Dalam kes berlainan, polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Barat Daya menahan 17 lelaki berusia lingkungan 20 hingga 60 tahun kerana disyaki terlibat dalam kesalahan dadah.

Menurut kenyataan kenyataan di Facebook IPD Barat Daya, kesemua tangkapan dilakukan di sekitar kawasan Bayan Baru, Bayan Lepas dan Batu Maung dengan bantuan anggota dari balai-balai yang terlibat.

“Hasil pemeriksaan menjumpai dan merampas dadah disyaki jenis heroin, syabu, ganja dan cecair mitragynine.

“Hasil ujian saringan air kencing, enam daripada tangkapan didapati positif dadah. Kes disiasat mengikut Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Turut baca

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*