Hadi ajak UMNO selamatkan kerajaan PN. PAS bertegas akan terus berada di tengah gelanggang pertembungan Umno dan Bersatu demi menyelamatkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Presiden PAS, Abdul Hadi Awang mengulangi pendirian itu di tengah-tengah spekulasi pembubaran Parlimen, selepas Barisan Nasional dan PN dilaporkan berbalah mengenai tarikh pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
“Apabila Umno mengajak PAS untuk berkumpul di PWTC yang dimiliki oleh Umno, maka ditubuhkan gabungan Muafakat Nasional (MN) dengan persetujuan yang ditandatangani bersama piagamnya, kemudian bersetuju dimasukkan juga Bersatu ke dalam gabungan MN.
“Maka, tiada sebab yang munasabah untuk merungkainya dan menasakhkan keputusan yang telah dimeteraikan kepada gabungan yang hanya terhad kepada Umno dan PAS sahaja, setelah ada dalam kalangan Umno menolak Bersatu atau kalangan Bersatu menolak Umno.
“PAS tetap mempertahankan konsep wasatiyyah dengan berada di tengah-tengah gelanggang pertembungan yang mahu merungkaikan kejayaan bersama menyelamatkan kerajaan PN,” katanya di Facebook
Beliau turut menasihatkan Umno dan Bersatu tidak terus berbalah kerana ia hanya akan menjadikan parti itu “gagal dan hilang kekuatan”.
Terdahulu, media melaporkan 12 menteri PN mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung pendirian mereka menolak PRU15 diadakan tahun ini.
Spekulasi pembubaran Parlimen bertambah hangat selepas perdana menteri dilaporkan berkata, beliau akan mencadangkan tarikh pembubaran Parlimen pada majlis menghadap Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah petang ini, “jika berkesempatan”.
Turut baca :
Leave a Reply