Gempar! Pemain import Kelantan FC terima ugutan bunuh

KOTA BHARU – Pemain import baharu Kelantan FC, Christian Mangaron Rontini menerima mesej ugutan bunuh di Instagram dipercayai daripada peminat fanatik sukan bola sepak di negeri itu.

Rontini, 23, menerima mesej tersebut di pada jam 11.47 malam, Selasa.

Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman mengakui amat terkejut dan kecewa sebaik mengetahui perkara itu ketika bertemu pemain berkenaan yang memberitahunya sendiri.

“Sepatutnya sebagai peminat yang bijaksana haruslah menyambut baik kehadiran pemain baharu lebih-lebih lagi pemain import.

“Harus ditunjukkan budaya Malaysia yang peramah dan baik terutama budaya masyarakat Kelantan yang bertatasusila selagi tidak diganggu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Rabu.

Tambah Norizam, pihaknya sudah meminta pihak pengurusan pasukan membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung perkara itu.

“Takir tak apa, jangan sampai ugut. Kesian pemain kita yang tertekan dan risau.

“Ugutan bukanlah sesuatu perkara main-main. Jagalah maruah ‘Gomo Kelate Gomo’, tegasnya.

Sebelum itu, Norizam turut memuat naik hantaran berkaitan perkara tersebut di Facebooknya.

Rontini adalah pemain berdarah kacukan Itali-Filipina dan beraksi di bahagian pertahanan tengah yang baharu sahaja diumumkan sebagai pemain import terbaru Kelantan pada Selasa.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*