Khairy Jamaluddin mencadangkan perdebatan mingguan antara Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin ketika Parlimen bersidang.
Khairy berkata ia boleh menjadi pentas di mana ketua pembangkang membuktikan pihaknya mampu memainkan peranan sebagai semak dan imbang kepada kerajaan.
Bercakap dalam siaran podcast bersama bekas ketua penerangan Umno Shahril Hamdan, dia berkata perdebatan tersebut boleh dilakukan di awal sesi soal jawab perdana menteri (PMQT), yang diadakan pada setiap Selasa.
“Perdana menteri dah buka gelanggang, dan saya puji perdana menteri dan juga speaker (Dewan Rakyat, Johari Abdul) kerana sekarang kita ada sesi PMQT, dulu tak ada.
“Kalau saya ketua pembangkang, saya akan minta atau runding supaya ia ‘adversarial’ (seperti pertembungan), satu sesi di mana untuk 10 hingga 15 minit pertama, perdana menteri jawab ketua pembangkang saja,” katanya.
Selain menunjukkan peranan pembangkang, Khairy berkata ia juga boleh membina imej bahawa ketua pembangkang adalah perdana menteri bayangan, seperti mana di United Kingdom (UK).
PMQT bermula pada 14 Februari lalu bagi menggantikan sesi soal jawab menteri pada setia Selasa.
Tiga ahli parlimen diberi peluang untuk melontarkan soalan utama kepada perdana menteri, dengan ahli parlimen lain boleh mengajukan soalan susulan.
Bagaimanapun setakat ini Hamzah belum mengambil bahagian ketika sesi tersebut.
Ketua Pembangkang (@hamzahzainudin_ YB Larut), @MuhyiddinYassin YB Pagoh dan @abdulhadiawang YB Marang sekali lagi tidak muncul dan tidak bertanya soalan bagi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT).
YAB @anwaribrahim PM, YAB @DrZahidHamidi TPM, dan YAB @PetraJayaMP… pic.twitter.com/JV3wbvaqnc
— Fahmi Fadzil 🇲🇾 (@fahmi_fadzil) March 28, 2023
Sementara itu, Khairy juga mengajukan agar pembangkang di Malaysia mencontohi satu lagi kelaziman Parlimen UK, iaitu mewujudkan kabinet bayangan.
“Tentunya, di Malaysia, kabinet bayangan adalah tidak rasmi, (berbeza dengan) di Westminster yang rasmi, jadi (mereka) dapat kakitangan, peruntukan dan macam-macam.
“Tapi fungsi masih boleh dijalankan (pembangkang Malaysia),” katanya lagi.
Hamzah sebelum ini menyatakan pembangkang tidak mewujudkan kabinet bayangan, sebaliknya memiliki pasukan “jawatankuasa portfolio” yang memantau setiap kementerian.
‘PN macam tak berminat pada dasar’
Sementara itu, Shahril berkata pembangkang seperti kurang berminat untuk menjadi semak dan imbang kepada kerajaan.
Menurutnya, perbahasan PN di Parlimen, isu yang dibangkitkan serta kandungan media sosial gabungan itu lebih banyak berkisar tentang pendirian mereka berkenaan isu Melayu dan menunjukkan PH sebagai “tidak cukup Melayu”.
“Saya lihat PN agak hambar dalam isu lain, terutama dalam Parlimen dalam mempersoalkan belanjawan, dasar.
“Kualiti kepimpinan mungkin ada tapi tak ditonjolkan kerana mereka nak tonjolkan benda lain, iaitu kedudukan mereka sebagai pahlawan Melayu,” katanya.
Bagaimanapun Khairy mengingatkan agar pembangkang tidak digeneralisasi sebegitu.
Katanya, ada ahli parlimen kerajaan dan pembangkang yang memberikan perbahasan yang bermutu namun tidak menjadi perhatian kerana kenyataan mereka dianggap sebagai “tiada nilai berita”.
Sebaliknya mereka yang bercakap tentang soal kaum dan agama yang lebih mendapat publisiti, katanya.
Dia berkata antara ahli parlimen PN yang memberikan perbahasan yang membina termasuk Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang) dan Syahir Sulaiman (Bachok).
Leave a Reply