Kadar gaji median iaitu taburan gaji pertengahan di Malaysia telah meningkat daripada RM2,600 sebulan kepada RM2,745 sebulan antara Jun 2023 hingga Jun 2024.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, ia bermakna daripada 6.73 juta pekerja bergaji atau pekerja formal apabila dibandingkan gaji bagi setiap pekerja, gaji pertengahan adalah RM2,745.
Kata beliau, jumlah pekerja gaji bawah RM2,000 sebulan pula berkurangan daripada 34.8 peratus daripada jumlah pekerja dalam Jun 2023 kepada 32.2 peratus dalam Jun 2024.
“Jumlah pekerja gaji antara RM2,000 ke RM5,000 meningkat daripada 42.7 peratus daripada jumlah pekerja dalam Jun 2023 kepada 43.8 peratus dalam Jun 2024.
“Jumlah pekerja gaji melebihi RM5,000 juga telah meningkat daripada 22.5 peratus daripada jumlah pekerja dalam Jun 2023 kepada 24 peratus dalam Jun 2024
“Pertumbuhan gaji ini mendukung hasrat kerajaan menganjakkan gaji median jadi lebih tinggi setiap tahun agar gaji setiap isi rumah menjadi lebih baik,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Rafizi berkata, fenomena gaji rendah namun masih menjadi cabaran kepada ekonomi negara meskipun pertumbuhan menyaksikan jumlah pekerja bawah gaji RM2,000 sebulan berkurangan.
Kata beliau, sebanyak 32.2 peratus pekerja dalam kategori itu bersamaan dengan 2.167 juta rakyat Malaysia masih digaji RM2,000 sebulan.
Jelas beliau, keadaan itu diyakini akan menjadi lebih baik bermula tahun 2025 dengan tiga keputusan utama kerajaan berkenaan gaji pekerja.
“Pertama, kenaikan gaji penjawat awam. Kedua, kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 sebulan. Ketiga, pelaksanaan sepenuhnya gaji progresif bagi pekerja swasta dengan peruntukan awal RM200 juta bagi 2025.
“Insya-Allah, keadaan gaji akan bertambah baik setiap tahun selepas ini,” katanya.
Terdahulu, Rafizi berkata, soalan bilakah gaji sektor swasta akan naik sering dibangkitkan memandangkan gaji penjawat akan dinaikkan.
Ujar beliau, antara keputusan pertamanya sebagai Menteri Ekonomi adalah meminta Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menerbitkan laporan gaji pekerja formal setiap tiga bulan sekali.
Beliau berkata, laporan itu menggunakan data gaji setiap pekerja formal yang ada di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso)
“Ini bagi membolehkan kerajaan merangka dasar yang lebih baik untuk menaikkan gaji dalam tempoh 10 tahun akan datang selaras dengan aspirasi Ekonomi Madani,” katanya.
Baca juga :
Leave a Reply