Gagal respon surat tuntutan, Wahab sedia saman Chegubard

Pembantu Pegawai J-Kom, Abdul Wahab Abdul Kadir Jailani bersedia menyaman ahli Bersatu Badrul Hisham Shaharin kerana memfitnah dan menyebarkan video tular yang dikaitkan dengannya.

Peguam Wahab Faizal Rahman berkata Badrul, lebih dikenali sebagai blog Chegubard, telah gagal menjawab surat tuntutan yang dihantar awal bulan ini dalam tempoh 48 jam.

Faizal berkata, anak guamnya menuntut permohonan maaf serta pampasan daripada Badrul atas penyebaran video itu.

Surat tuntutan sama turut dihantar kepada Pengarah Bahagian Pendidikan dan Latihan J-Kom Hakim Ramlee. Wahab kini sedang menyemak jawapan Hakim.

“Setakat ini, Wahab sedang menyemak draf akhir (writ) saman. Kami menjangkakan dokumen itu akan difailkan terhadap Chegubard secepat mungkin. Injunksi juga akan difailkan serta-merta,” katanya.

Bulan lalu, rakaman video berdurasi tiga minit yang menunjukkan perbualan antara seorang lelaki yang didakwa mirip bekas ketua pengarah J-Kom Agus Yusoff dan seorang lagi individu menjadi tular di media sosial.

Agus dengan tegas mendakwa video perbualan tular yang dikaitkan dengan dirinya sebagai disuai pinda dan disunting sebelum membuat laporan polis.

Wahab, yang juga naib pengerusi Pemuda PKR Hulu Langat, turut mendakwa dia diganggu secara seksual oleh Agus.

Siasatan terhadap video itu sedang dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*