Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar kecewa terhadap keadaan bangunan, penyelenggaraan dan tahap kebersihan flat kos rendah di negeri itu yang disifatkan seperti “reban ayam”.
“Saya melihat ada beberapa flat kos rendah di negeri ini dalam keadaan yang amat menyedihkan dan seolah-olah rakyat saya hidup dalam ‘reban ayam’,” katanya di Facebook.
Sultan Ibrahim berkata, kebanyakan flat kos rendah di Johor berada dalam keadaan daif serta dipenuhi pelbagai sampah sarap yang dibuang merata-rata sehingga menjadi tempat pembiakan serangga berbisa.
“Saya harap kerajaan pusat akan berikan bantuan untuk baik pulih flat kos rendah yang lama, dan penduduk juga mesti sama-sama bertanggungjawab menjaga kebersihan persekitaran kawasan flat mereka,” katanya.
Sultan Ibrahim turut meluahkan rasa tidak puas hati dengan perkhidmatan pembersihan dijalankan SWM Environment Sdn Bhd (SWM) di negeri itu.
“Kerajaan negeri terpaksa membayar hampir RM180 juta setiap tahun kepada SWM, namun perkhidmatan (pembersihan) atau pungutan sampah yang dijalankan langsung tidak memuaskan.
“Malah perjanjian bersama SWM adalah ‘watertight’ seolah-olah tidak boleh dipertikaikan. Walaupun banyak aduan telah dibuat mengenai perkhidmatan SWM yang mengecewakan, namun keadaan masih tidak berubah,” katanya.
Terdahulu, baginda berkenan menerima mengadap Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, di Istana Bukit Serene, Johor Bahru.
Sultan Ibrahim berkata, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan perlu mengambil perhatian perkara yang disampaikan baginda demi kepentingan rakyat.
Leave a Reply