Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tersentuh dengan filem “Anwar: The Untold Story” yang mengangkat kisah perjuangan politik beliau.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, walaupun keseluruhan dialog dan penceritaan tidak 100 peratus sama, namun isu yang dibangkitkan dalam karya berkenaan adalah kejadian sebenar.
“Saya sukar mengulas kerana ada episod yang telah kita lupakan kerana sakit dan menyedihkan. Banyak beban tertanggung adalah Azizah, anak-anak dan rakan-rakan,” katanya.
Anwar berkata demikian pada sidang media selepas menonton tayangan perdana filem berkenaan di Dadi Cinema, Pavillion Bukit Bintang, di sini malam ini.
Turut hadir isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, pengarah filem itu, Viva Westi dan pelakon utama, Farid Kamil Zahari.
Anwar turut memuji hasil karya sutradara dari Indonesia itu yang disifatkan pintar dan hebat kerana mampu meringkaskan penceritaan selama 23 tahun kepada filem berdurasi kira-kira 90 minit.
“Peristiwa puluhan tahun untuk disingkatkan itu sudah tentu tidak mudah, malah sinematografi filem ini juga sangat baik,” katanya yang turut berpuas hati dengan lakonan Farid Kamil yang membawa watak beliau.
Dalam pada itu, Anwar berharap berpeluang untuk mendengar runut bunyi filem berkenaan berjudul “Menjaga Cintamu” nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin yang tidak sempat diperdengarkan pada sesi tayangan itu susulan masalah suntingan.
Sementara itu, Dr Wan Azizah bersyukur dan berharap agar filem berkenaan mampu menangkis semua persepsi negatif yang pernah dilemparkan terhadap Anwar.
Filem berlatarkan antara 1993 dan 1998 itu, menceritakan mengenai perjalanan hidup Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan serta perjuangannya dalam menentang amalan rasuah.
“Anwar: The Untold Story” yang membabitkan kos RM10 juta itu akan ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 18 Mei ini.
Leave a Reply