Ejen minta rasuah RM18,000 di KLIA dalam radar SPRM

Ejen minta rasuah RM18,000 di KLIA dalam radar SPRM. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mengesan seorang ejen didakwa terbabit “menyelesaikan” kes membabitkan seorang pelancong asing tidak memenuhi syarat kemasukan ke negara ini.

Sumber berkata orang tengah itu dikatakan meminta rasuah sebanyak RM18,000 untuk menyelesaikan kes terbabit.

Menurutnya, ia sebahagian daripada siasatan dakwaan rasuah membabitkan pegawai imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Jumaat lalu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing mengakui beliau ialah menteri dikaitkan dengan kejadian kekecohan di balai ketibaan antarabangsa KLIA bagi membantu seorang warga China yang ditahan daripada memasuki Malaysia.

Beliau mendakwa wujud budaya rasuah membabitkan segelintir pegawai dan penyalahgunaan kuasa “kronik” di pintu masuk negara.

Sumber SPRM berkata kenyataan menteri terbabit juga telah diambil selain dua saksi utama iaitu warga China.

“Beberapa orang pegawai imigresen yang terlibat akan dipanggil untuk diambil keterangan berhubung perkara ini, hari ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengesahkan siasatan dibuat mengikut seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*