Didakwa perlekeh Menu Rahmah, Dr Halimah mohon maaf pada dewan

Didakwa perlekeh Menu Rahmah, Dr Halimah mohon maaf pada dewan. Isu Menu Rahmah yang dikaitkan dengan punca penyakit dan kontroversi sejak minggu lalu berakhir dengan Ahli Parlimen Dr Halimah Ali (Pas – Kapar) membuat permohonan maaf di dalam Dewan Rakyat hari ini.

Ahli Parlimen Pas itu memohon maaf dalam bentuk gurindam dengan bait-bait yang menyebut beliau ‘menyusun 10 jari’ kepada semua ahli Dewan Rakyat.

“Jikalau ada jarum peniti, jangan disimpan di dalam peti, andai ada ucapan disalah erti, saya menyusun 10 jari, niat di hati suara rakyat saya juarai semak imbang Kerajaan Madani, biar integriti, bukankah itu peranan hakiki.

“Selaku wakil rakyat suara rakyat yang diwakili sudi kiranya rujuk penyata rasmi muka surat 134 hingga 137 pada 14 Februari,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Dr Halimah bangkit berdiri selepas Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul mengundangnya menjawab gesaan Dr Kelvin Yii (PH-Bandar Kuching) agar beliau menjelaskan kenyataannya.

Terdahulu, Dr Halimah dalam perbahasan, cuba mengaitkan Menu Rahmah dengan kebimbangan mengenai “makanan berkualiti rendah” boleh mendedahkan orang ramai kepada risiko penyakit, termasuk kanser dan autisme.

Dr Halimah ketika itu dikatakan menyuarakan kebimbangan tentang bekalan makanan berkualiti rendah yang mungkin disediakan peniaga hanya kerana mahu menyediakan Menu Rahmah untuk pelanggan.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*